Hadiah pakej umrah G57 untuk ibu Zara

Hadiah pakej umrah G57 untuk ibu Zara

am@hmetro.com.my

Shah Alam: “Niat saya memang nak taja ibu Zara Qairina Mahathir menunaikan ibadah umrah supaya hatinya yang retak dapat ditenangkan selain mendoakan roh Allahyarhamah tenang di sana,” ujar Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar yang bakal menaja Noraidah Lamat, 45.

Noraidah adalah ibu kepada Zara Qairina, 13, yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempat mangsa belajar di Papar, Sabah, pada pagi 16 Julai lalu.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital keesokannya.

Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.

Zulkarnain berkata, beliau sudah menghubungi Noraidah baru baru ini dan mengakui tidak mampu menahan emosi susulan kejadian menyayat hati itu.

“Allahyarhamah bukanlah anak saya tetapi saya beremosi kerana tiada ayah atau ibu yang boleh menerima pemergian anak dengan 1,000 tanda tanya tanpa jawapan.

“Tajaan umrah ini sebagai sokongan moral kepada ibu mangsa yang bukan hanya sekadar nama tetapi kemanusiaan,” katanya ketika dihubungi, tadi.

Dalam pada itu, Zulkarnain memaklumkan pihaknya sudah menghantar memorandum rayuan kepada wakil Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, kelmarin, bagi menggesa prosiding inkues terbuka diadakan untuk menyiasat punca kematian Zara Qairina.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan pelaku terlibat tidak akan dilindungi, sambil menegaskan komitmen itu penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

“Untuk makluman, G57 akan menghantar memorandum sama kepada Sultan Pahang, Sultan Perak dan seluruh Raja-Raja Melayu agar perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“G57 berharap seluruh rakyat Malaysia bersama sama memperjuangkan keadilan buat Zara Qairina sehingga kes ini mendapat pembelaan sepenuhnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top