Hadir Beri Sokongan, Syed Saddiq Gelar Bella Astillah ‘Wanita Luar Biasa’ – “Saya Terhutang Budi”

Hadir Beri Sokongan, Syed Saddiq Gelar Bella Astillah ‘Wanita Luar Biasa’ – “Saya Terhutang Budi”

Meskipun terlibat dalam prosiding rayuan terhadap sabitan dan hukuman empat tuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) hari ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq sempat menitipkan ucapan penghargaan kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah.

Katanya, Bella seorang wanita yang luar biasa sekaligus mengucapkan terima kasih di atas kesudian Bella untuk hadir ke Mahkamah memberikan sokongan.

“Dia wanita luar biasa.

“Terima kasih dan saya terhutang budi,” katanya kepada pemberita.

Memetik laporan Harian Metro, Bella difahamkan hadir di perkarangan Mahkamah pada jam 8.50 pagi ditemani adiknya, Didi Astillah dan rakan baiknya.

 

Ketika ini, kira-kira 30 penyokong Ahli Parlimen Muar itu berhimpun di pekarangan Istana Kehakiman bagi mengikuti proses rayuan terhadap sabitan dan hukuman empat tuduhan berkaitan dana ARMADA.

Tambahnya, beliau sudah menunggu sekian lama untuk menuntut keadilan selepas disiasat sejak tahun 2020.

“Alhamdulillah tibanya juga hari ini. Saya berada di pintu Mahkamah Rayuan dengan penuh sifat bermuhasabah dan yakin untuk menuntut keadilan dan kebenaran.

“Saya tidak minta banyak, hanya kebenaran dan saya yakin bahawa institusi kehakiman yang saya hormati, pertahan dan martabatkan adalah jalan yang terbaik untuk membersihkan nama saya,” ulasnya.

Syed Saddiq sebelum ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November tahun lalu.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana ARMADA.

 

Sumber: Harian Metro

Scroll to Top