Hael Husaini Kini Bahagia, Bakal Tamat Zaman Bujang Dalam Masa Terdekat

Hael Husaini Kini Bahagia, Bakal Tamat Zaman Bujang Dalam Masa Terdekat

Penyanyi popular, Hael Husaini akhirnya terbuka berkongsi mengenai status peribadinya selepas timbul spekulasi yang mengatakan dia bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.

Hael atau nama penuhnya Hal Husaini Razmi, 37, berkata bahawa urusan jodoh kini diserahkan sepenuhnya kepada ketentuan Ilahi. Katanya, andai tiba waktunya kelak, dia tidak akan berahsia dan pasti akan berkongsi berita gembira itu dengan peminat dan media.

“Sebenarnya saya tunggu nasi minyak kawan-kawan saya dulu. Saya sebenarnya tak berani nak komen, sebab pasal jodoh ni kita serah pada yang lebih berkuasa.

“Inshaa-Allah bila dah sampai masanya saya akan terima dengan hati terbuka dan akan memaklumkan kepada semua,” katanya.

Hael berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada majlis Last Kopek Raya bersama Rocketfuel yang di adakan di Rumah Abang Jamil, Kuala Lumpur pada Rabu.

Meskipun tidak menyedari tentang khabar angin yang sedang tular, Hael tetap tenang dan berharap agar orang ramai terus mendoakan yang terbaik buat dirinya dan rakan artis lain yang juga mungkin sedang merancang perkahwinan.

“Yeke, saya pun tak perasan pasal benda ini. Apa-apa sahaja just doakan yang terbaik, bukan sahaja untuk saya tetapi sesiapa sahaja rakan artis yang ingin mendirikan rumah tangga,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Diam ini juga menegaskan, dia kini sudah berpunya dan sedang berada dalam fasa bahagia.

“Saya memang tak available sekarang ni. Dan, ya saya kini sudah berpunya.

“Itu sahaja yang saya mampu jelaskan, apapun doakan saya. Dan, saya rasa rakan-rakan media saya berbesar hati mendoakan saya.

“Saya tak ada masalah untuk tunjuk cuma bagi saya benda yang tak pasti lagi mungkin sulit untuk saya berkongsi. Tapi bila dah pasti tu inshaa-Allah.

“Dan saya dalam fasa bahagia. Alhamdulillah,” ujarnya.

Terdahulu, timbul desas-desus mengatakan pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-32 ini sedang menjalin hubungan cinta dengan rakan duetnya dan dilaporkan bakal menamatkan zaman solo dalam masa terdekat.

Scroll to Top