Kemenangan sebagai Penyanyi Lelaki Popular yang diraih pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37 disifatkan sebagai satu kejutan besar buat penyanyi berpengalaman, Hael Husaini, meskipun namanya sering menjadi sebutan peminat sepanjang musim berlangsung.
Kata Hael, kejayaan itu tidak pernah terlintas di fikirannya walaupun sudah lama bertapak dalam industri muzik tanah air.
Namun, kemenangan yang diraih pada malam ABPBH 37 diterimanya dengan penuh rasa syukur.
“Saya memang terkejut. Alhamdulillah, ini rezeki pada malam ini. Tapi itu bukan bermaksud artis lain yang tidak menang tidak bagus. Rezeki masing-masing, dan saya doakan semua finalis akan merasai kegembiraan seperti yang saya rasa hari ini,” katanya.
Mengulas sokongan padu peminat, penyanyi itu mengakui mungkin ada yang melihat dirinya lebih menyerlah tahun ini, namun keputusan akhir tetap bergantung kepada undian sekali gus menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hadiah istimewa kepada peminat yang sentiasa menyokong karier seninya.
“Mungkin peminat nampak saya lebih menyerlah tahun ini, tapi saya pun tak tahu. Kena tanya mereka yang mengundi. Sejujurnya saya sangat terkejut.
“Kemenangan ini bonus untuk peminat yang mengundi saya. Tugas saya sebagai anak seni ialah mendidik, bukan saja peminat tetapi juga bakat baharu yang melihat saya sebagai contoh,” jelasnya.
Mengimbas perjalanan seninya, penyanyi yang mula dikenali sejak era Akademi Fantasia (AF) itu menegaskan, kejayaan tidak hadir sekelip mata dan apa yang diraihnya pada malam tadi hadir selepas penantian panjang.
“Mereka tahu saya sudah lama dalam bidang ini, bukan hanya selepas AF. Saya selalu pesan jangan putus asa.
“Saya sendiri sudah lebih lima tahun tercalon sebelum menang malam ini. Kalau bukan hari ini, mungkin rezeki akan datang kemudian,” ujarnya.



