Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan perintah hak jagaan dua anak pelakon, Hafidz Roshdi kepada bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Memetik Harian Metro, Hakim Syarie, Zalinah Said memutuskan demikian selepas meneliti permohonan hadanah iaitu hak penjagaan penuh yang difailkan Hafidz.
BACA: “Dua Hari Sekali Mimpikan Mereka” – Hafidz Roshdi Rindu Anak-Anak
“Selepas mendengar hujahan pihak plaintif, mahkamah memerintahkan Humairah dan Umar diberikan kepada defendan, Nurul Shuhada selaku ibu kandung.
“Mahkamah memerintahkan plaintif diberi hak lawatan bersama dan bermalam dengan anak-anak pada cuti persekolahan mereka sepenuhnya,” katanya.
Bagaimanapun, Hafidz diberi hak lawatan dan bermalam dengan anak-anaknya pada cuti persekolahan serta hak untuk menghubungi mereka tanpa halangan daripada Shuhada dan ahli keluarganya.
“Pihak polis, Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi berkaitan perlu memberi kerjasama bagi memberikan perintah ini dapat dipatuhi,” kata hakim syarie.
Sementara itu, Hafidz berkata dia mengakui agak kecewa dengan keputusan berkenaan namun menghormatinya. Malah, Hafidz turut meluahkan rasa rindu pada dua anaknya, Umairah dan Umar.
“Saya harapkan benda lain (hadanah penuh), dapat hak penjagaan kekal. Jadi, saya sangat kecewa tapi saya menghormati keputusan mahkamah.
“Saya harap dapat jumpa anak saya dalam masa terdekat ini seperti ketetapan mahkamah. Saya sangat-sangat rindu pada mereka, ” katanya.
Terdahulu, Hafidz an Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 namun bercerai talak satu pada 27 Julai 2023.
Sumber: Harian Metro




