Hafiz Hamidun berbelanja besar demi Inni Tawakkaltu

Hafiz Hamidun berbelanja besar demi Inni Tawakkaltu

KUALA LUMPUR – Penyanyi, penerbit dan komposer lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun muncul dengan sentuhan terbaharu berjudul Inni Tawakkaltu dengan menggunakan khidmat penulis lirik terkenal, ITO Lara.

Sebelum ini, ITO Lara dikenali dengan lirik-lirik nasyid yang puitis seperti Kasih Kekasih dan Nur Kasih nyanyian Inteam, Tangis Sebatang Tamar nyanyian Dakmie, Ainul Mardhiah nyanyian UNIC dan ratusan lirik malar segar lain. 

“Saya mengenali ITO Lara bukan hanya sebagai penulis lirik, malahan kami seperti keluarga rapat kerana saya membesar dengan lirik-lirik nasyid ciptaan beliau.

“Semasa saya bersama kumpulan UNIC satu masa dulu, ITO Lara banyak menyumbangkan karya untuk UNIC. Lebih 20 tahun kami sudah kenal dan bekerjasama.

“Kali ini, saya mempelawa ITO Lara untuk menulis satu lagi karya yang sesuai untuk saya,” ujarnya yang turut menggunakan khidmat para pemuzik tempatan dan antarabangsa di dalam garapan gubahan muzik termasuk iringan orkestra dari Istanbul, Turkiye.

Proses adunan dan mastering Inni Tawakkaltu juga mendapat sentuhan jurutera muzik antarabangsa, Greg Henderson dan Don Bartley dari Australia. 

Menurut Hafiz, dia  sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan hasil terbaik.

Katanya yang berusia 38 tahun, bukan hanya menggunakan para pemuzik profesional dari luar negara, dia juga yakin dan percaya dengan bakat para pemuzik tempatan.

Di samping menggunakan khidmat para pemuzik dan jurutera terbaik dari dalam dan luar negara, Hafiz juga bekerjasama bersama kawan lamanya beliau untuk penghasilan video muzik Inni Tawakkaltu.

“Setelah siap proses mastering lagu ini, saya kembali menghubungi kawan saya, Rifaiee untuk menjadi pengarah kepada video muzik Inni Tawakkaltu.

“Walaupun terdapat faktor kekangan masa, pengambaran video muzik ini telah berjalan lancar. Sebenarnya 12 tahun lalu, Rifaiee dan kru RIO Production jugalah yang merakamkan video zikir dari album Zikir Terapi Diri saya,” katanya.

Menurut Hafiz, Inni Tawakkaltu dihasilkan bukan hanya untuk dirinya, tetapi untuk semua. 

Inni Tawakkaltu kini boleh ditonton di YouTube Hafiz Hamidun dan didengarkan di semua platfrom penstriman muzik.

Single ini diterbitkan oleh Arteffects Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette