Hafiz Hamidun nafi artis nasyid kurang bersuara isu Palestin

Hafiz Hamidun nafi artis nasyid kurang bersuara isu Palestin

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun, 41, menafikan dakwaan segelintir pihak yang menganggap artis nasyid kurang bersuara membabitkan isu rakyat Palestin dan kekejaman di bumi Gaza ketika ini.

Bekas anggota kumpulan nasyid UNIC itu berkata, isu membabitkan rakyat Palestin di bumi Gaza itu sudah diperjuangkan artis nasyid secara berterusan sejak dulu lagi.

“Saya mula menyanyi sejak usia 18 tahun dan kini sudah 23 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian.

“Jadi dalam tempoh itu, saya juga melihat isu kemanusiaan membabitkan rakyat Palestin dan bumi Gaza ini sudah diperjuangkan oleh artis nasyid sejak dulu.

“Contohnya lagu dendangan kumpulan NowSeeHeart berjudul Damai Yang Hilang juga sudah 20 tahun dinyanyikan dan bekas anggota kumpulan itu, Allahyarham Mujahid Abd Wahab pun sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pada sidang media Perhimpunan Seeking Rahma 2025: Santapan Rohani dan Kemanusiaan yang berlangsung di sebuah hotel di sini semalam.

Acara ini berlangsung dua hari iaitu hari ini dan esok di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.

Mengenai isu Palestin lagi, kata Hafiz, ia semakin terasa dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Bukannya kita tidak mahu bersuara tapi kita memang sentiasa lakukan dan kita pun nak orang lain pun sama kerana platform itu terbuka kepada sesiapa sahaja.

“Janganlah hangat-hangat tahi ayam sahaja. Kita juga tak nak bercakap pasal isu boikot (produk Israel) sebab kita sudah perjuangkan isu kemanusiaan ini sudah berpuluh tahun lamanya,” katanya.

Ditanya pendiriannya berhubung isu membabitkan rakyat Palestin dan kekejaman di bumi Gaza, kata Hafiz, dia tiada masalah untuk bercakap isu berkaitan tapi tidak mahu menyentuh perkara yang membabitkan keganasan.

“Saya tak nak sentuh isu keganasan yang dilakukan pihak sana (Israel) atau orang lain terhadap bumi Gaza kerana lebih baik kita fokus pada orang yang kita nak bantu.

“Saya faham tanggung-jawab dan pendirian kita di mana membabitkan isu kemanusiaan ini tapi kita perlu bijak menggunakan medium media sosial.

“Jangan timbulkan perkara berkaitan keganasan kerana orang akan nampak seolah-olah orang Islam adalah ganas, suka bunuh dan tembak orang,” katanya.

Mengenai media sosial lagi, kata Hafiz, dia juga lebih berhati-hati untuk memuat naik isu berkaitan rakyat Palestin dan bumi Gaza di media sosialnya.

“Kalau anda tengok media sosial saya ‘clean’ (bersih) sahaja. Bukannya saya tak nak lebih-lebih tapi lebih baik kita fokus bantuan untuk membantu rakyat Palestin di bumi Gaza sahaja.

“Kita jangan sentuh isu keganasan di media sosial untuk mengelak dari kena sekat dan sebagainya kerana media sosial juga adalah tempat kita nak cari makan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top