Hafizi sasar menang KO ke atas 'Mat Korro'

Hafizi sasar menang KO ke atas 'Mat Korro'

Kuala Lumpur: Petarung muda negara, Ahmad Hafizi Muhlisom tekad menumbangkan jaguh berpengalaman Yuskhairul Yusof atau lebih dikenali sebagai Mat Korro pada aksi final MFN Grand Final Mega 8 Pro Muaythai di Arena of Stars, Genting Highlands, 6 Disember ini.

Hafizi yang berusia 23 tahun itu mengakui tidak gentar berdepan lawan yang sinonim dengan gaya agresif serta serangan siku berbisa, malah sudah merancang strategi untuk mencari kemenangan knockout (KO) pada pusingan ketiga.

“Saya sudah kaji corak serangan Mat Korro. Dia agresif dan suka guna siku, tapi saya pun akan sediakan strategi sendiri.

“Pusingan pertama saya akan tenang, pusingan kedua mula agresif dan pusingan ketiga saya akan buru KO. Kalau dia nak jatuhkan saya awal, itu cuma mimpi,” katanya yang beraksi dalam kategori bantamweight.

Pertembungan dua generasi Muay Thai itu dijangka menjadi antara tarikan utama di pentas Grand Final Mega 8 Pro Muaythai kali ini.

Selain aksi Hafizi menentang Yuskhairul, tumpuan turut terarah kepada jaguh negara Izat Zaki yang bakal menentang wakil Filipina, Khen Marques dalam kategori catchweight 63 kilogram (kg).

“Saya tahu Khen bukan lawan mudah tapi saya tak kisah dengan rekodnya. Misi saya jelas, nak tumbangkan dia di sini,” tegas Izat yang sudah melalui lebih 100 pertarungan sepanjang kariernya.

Bagi peminat sukan tempur, tiket menyaksikan Grand Final MFN 2025 kini mula dijual pada harga antara RM79 hingga RM250 menerusi platform rasmi penganjur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top