Haim Hilman didakwa isu masuk universiti guna ‘pintu belakang’

Haim Hilman didakwa isu masuk universiti guna ‘pintu belakang’

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Prof Dr Haim Hilman Abdullah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan berhubung kenyataannya mengenai kewujudan kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) tanpa melalui saluran Unit Pusat Universiti (UPU).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pertuduhan tersebut dibuat susulan kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh tertuduh dalam satu program di Seremban pada 13 Jun lalu.

“Sebanyak 15 laporan polis telah diterima berkaitan kenyataan yang dibuat dalam satu program di kawasan Seremban, Negeri Sembilan pada 13 Jun 2026 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Foto: Media sosial

Beliau memaklumkan, kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding tersebut, Prof Dr Haim Hilman, 53, yang diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu dan Yahaya Othman mengaku tidak bersalah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah diikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu sebutan semula kes.

“Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dan kes akan disebut semula pada 30 Julai 2026,” ujarnya.

Dalam pada itu, M Kumar menasihatkan orang ramai agar menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan perjalanan prosiding mahkamah.

“Orang ramai dinasihatkan agar menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh menjejaskan prosiding mahkamah.
“PDRM turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan platform media sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.

Foto: FB Haim Hilman Abdullah

Terdahulu, Prof Dr Haim Hilman didakwa telah membuat kenyataan bahawa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menafikan peluang kira-kira 30,000 pelajar yang layak untuk melanjutkan pengajian, susulan dakwaan wujudnya amalan tidak telus serta elemen ‘pintu belakang’ dalam proses kemasukan.

Kenyataan itu dikatakan dibuat ketika satu ceramah umum di Markas PAS Kawasan Seremban pada 13 Jun lalu.

Sumber: Facebook Polis Diraja Malaysia

Scroll to Top