Kuala Lumpur: Kejohanan Simulasi Olahraga yang diadakan minggu lalu tidak boleh menjadi penanda aras tentang siapakah pelari pecut terbaik negara ketika ini.
Ia kerana sudah tentu banyak aspek yang perlu diperbaiki oleh setiap atlet memandangkan tiada sebarang pertandingan sebelum ini dan kejohanan itu merupakan pertandingan pertama yang boleh disertai setakat ini.
Bagi Haiqal Hanafi iaitu Raja pecut Asia Tenggara, dia tekad untuk kembali merebut tempat sebagai pelari terbaik negara tahun depan dalam Kejohanan Terbuka Malaysia yang dijadualkan pada Januari ini.
Berdasarkan kejohanan simulasi itu, Haiqal bagaimanapun tetap berpuas hati dengan catatan masa yang direkodkan walaupun kalah kepada pelari senior, Jonathan Nyepa.
Mengimbas kejohanan tersebut, Jonathan memberikan amaran awal bagi perebutan tempat dalam acara riben biru ke temasya Sukan SEA Vietnam setelah merekodkan catatann 10.60s untuk muncul juara lantas menewaskan Haiqal di tempat kedua (10.65s) dan pelari remaja negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi di kedudukan ketiga dengan catatan 10.94s.
“Kejohanan itu adalah yang pertama untuk tahun ini dalam acara 100 meter tapi bagi saya ia cukup baik terutama selepas hampir lapan bulan tanpa ada sebarang pertandingan”, kata Haiqal yang kini menjalani latihan di bawah bimbingan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Dwayne Miller dari Amerika Syarikat..
“Saya tahu banyak yang perlu diperbaiki terutama kelemahan ketika di blok permulaan sebab dah tak ada pertandingan jadi momentum itu sedikit lari”, katanya lagi.
“Saya harap tahun depan pertandingan akan mula dianjurkan. Antara yang menjadi sasaran adalah Terbuka Malaysia bulan Januari nanti”, tambah haiqal.
“Tak mustahil saya akan bangkit semula tahun depan dengan catatan yang lebih baik”, tambahnya lagi.
Sumber: HM
Akmal Hakim
Sports Desk


