Haiti tempuh ujian berliku layak ke Piala Dunia selepas 52 tahun

Haiti tempuh ujian berliku layak ke Piala Dunia selepas 52 tahun

Willemstad: Kesepaduan skuad dan ketahanan mental menjadi faktor utama di sebalik kejayaan luar biasa Haiti layak ke Piala Dunia, kata jurulatih Sebastien Migne selepas kemenangan 2-0 ke atas Nicaragua memastikan negara Caribbean yang bergolak itu menempah tiket ke saingan 2026.

Haiti mengharungi pelbagai cabaran besar untuk melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali kedua, selepas penampilan sulung pada 1974, apabila mereka berjaya menamatkan saingan sebagai pendahulu kumpulan kelayakan.

Semua itu dicapai walaupun pasukan terpaksa bermain kesemua perlawanan di luar negara sendiri, ekoran kumpulan bersenjata menguasai hampir seluruh ibu kota, Port-au-Prince, dalam konflik yang memaksa lebih 1.3 juta penduduk meninggalkan rumah serta mencetuskan kelaparan pada skala serius.

“Ia sesuatu yang menakjubkan apabila selepas 52 tahun, Haiti kembali layak ke pentas bola sepak terbesar dunia,” kata Migne pada sidang media di Curacao, lokasi mereka selaku ‘tuan rumah’ bagi aksi terakhir kelayakan.

Hanya beberapa ratus penyokong hadir menyaksikan detik bersejarah itu dan Migne kemudian berdepan hanya seorang wartawan dalam dewan sidang media kosong, jauh berbeza daripada suasana sesak yang biasa dilihat apabila jurulatih pasukan gergasi menjawab soalan media.

“Saya gembira dapat membuat semua orang bangga, terutama untuk pemain saya kerana mereka benar-benar layak. Kadang-kadang saya menekan pemain senior hingga ke tahap maksimum, tetapi semuanya berbaloi.

“Kami tahu ke mana kami mahu pergi, tetapi kami juga tahu jalannya sangat sukar. Namun kami tidak menyerah, kami lakukan semuanya bersama-sama,” kata Migne.

Haiti sebelum ini ketinggalan dalam kedudukan selepas Honduras menewaskan mereka 3-0 pada Oktober, tetapi bangkit untuk menjuarai Kumpulan C selepas menumpaskan Costa Rica dan Nicaragua dalam dua perlawanan terakhir dalam tempoh enam hari lalu.

“Kami tidak pernah panik. Saya tahu bagaimana melakukannya kerana saya pernah layakkan diri ke Piala Dunia sebelum ini bersama negara lain,” tambah pengendali itu.

Migne adalah penolong jurulatih Cameroon pada Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Ia mengenai kekal tenang, bekerja sebagai satu pasukan, dan itu yang kami lakukan. Selain itu, kami juga mempunyai kualiti. Apabila kami bersatu, segalanya menjadi lebih mudah. Ketahanan kami memang luar biasa, pada tahap tertinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top