Haiwan korban ikut sumber sah

Haiwan korban ikut sumber sah

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menasihati orang ramai yang berhasrat menjalankan ibadat korban pada Aidiladha ini dengan menggunakan haiwan hidup import seperti lembu supaya mendapatkannya daripada sumber sah.

Ketua Pengarah Maqis Shamsul Akbar Sulaiman berkata, keperluan mematuhi prosedur import dan memperoleh bekalan seperti lembu dan haiwan korban daripada sumber sah, antaranya adalah untuk menjamin bebas daripada penyakit berjangkit.

Beliau berkata, pihak Maqis komited dalam memastikan proses pengimportan, kuarantin dan bekalan binatang hidup seperti lembu untuk ibadat korban berjalan lancar serta dapat memenuhi keperluan Aidiladha.

“Ancaman terbesar kemasukan ternakan seperti lembu dari luar negara tanpa kawalan penyakit dan pemeriksaan kuarantin akan membawa masuk pelbagai penyakit ternakan.

“Contoh, pada pertengahan 2021, negara dikejutkan dengan kemasukan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang disebabkan oleh virus Capripox.

“LSD ini berpunca daripada ternakan lembu yang dibawa masuk dari negara jiran. Walaupun penyakit ini tidak bersifat zoonotik atau tidak menjangkiti manusia, namun ia boleh melumpuhkan industri ternakan sekiranya tidak dikawal,” katanya.

Beliau berkata, pada dasarnya, kategori ternakan haiwan yang dibawa masuk menerusi pengimportan bagi tujuan korban adalah lembu dan kambing.

Shamsul Akbar berkata, negara mengimport secara purata kira-kira 40,000 lembu dan 20,000 kambing setahun bagi menampung keperluan dalam negara.

“Jangkaan peningkatan kemasukan ternakan hidup membabitkan lembu dan kambing terutama dari Thailand sempena Aidiladha adalah perkara biasa yang berlaku setiap tahun.

“Berdasarkan data kemasukan import pada Mei lalu, 6,400 lembu sudah dibawa masuk dengan peningkatan kira-kira 45 peratus daripada purata import pada bulan-bulan sebelumnya.

“Kemasukan kambing/bebiri pula merekodkan 2,700 ekor, peningkatan kira-kira 35 peratus,” katanya.

Beliau berkata, susulan daripada jangkaan peningkatan kemasukan ternakan dari Thailand sempena Aidiladha, Maqis sudah melaksanakan susun atur gerak kerja dengan memastikan kemudahan pusat kuarantin yang mencukupi.

Menurutnya, pihaknya turut akan menggerakkan pegawai Maqis dari negeri lain sekiranya diperlukan untuk membantu pasukan penguat kuasa di negeri yang menerima kemasukan lembu yang tinggi seperti Kedah, Perlis dan Kelantan.

“Semua pegawai ini akan terbabit dalam aktiviti penguatkuasaan dan kuarantin, khususnya di stesen dan premis kuarantin. Ini disebabkan oleh peningkatan aktiviti persampelan darah lembu bagi tujuan saringan penyakit.

“Keutamaan Maqis adalah bagi memastikan lembu yang dibawa masuk bebas daripada penyakit, justeru Maqis akan menjalankan persampelan darah bagi tujuan diagnosis penyakit.

“Ini sebagai langkah kawalan memastikan risiko ancaman penyakit dikurangkan dan bekalan lembu bagi sembelihan Aidiladha bebas penyakit dan mencukupi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top