Penyanyi Haiza terus membuktikan disiplin serta kesungguhan menjadi kunci utama untuk kekal bertahan tanpa sebarang kontroversi dalam dunia hiburan yang penuh dengan cabaran tersendiri.
Menurut penyampai radio Kool 101 ini, dia bersyukur kerana lebih tiga dekad dalam industri, namanya tidak terpalit dengan cerita sensasi.
Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 45, mendedahkan dia tidak pernah berminat untuk mencari publisiti murahan semata-mata untuk terus kekal dikenali dalam kalangan peminat dunia seni.


“Bila orang kata saya berjaya elak cerita panas, sebenarnya saya bukan pun nak jadi tumpuan dengan kontroversi.
“Kalau orang tak beri perhatian pun, saya okey saja. Saya tak nak nama saya dikaitkan dengan perkara yang mengarut.
“Ada juga yang cadangkan saya buat gimik, tapi saya rasa tak perlu. Saya lebih selesa jaga nama dan reputasi,” katanya kepada XTRA.
@xtra_my Love Dag Dig Dug 3.0 sempena 3 dekad ulang tahun Haiza dalam industri seni. Suka versi baru ni, lebih fresh ❤️ Semoga Haiza terus maju jaya 🤲🏻😻 @MY HAIZA @Kool 101 #xtramy #xtratonton #HaizaDagDigDug #DagDigDug #3DekadDagDigDugHaiza ♬ original sound – XTRA
Haiza ditemui pada sambutan ulang tahun ke-30 kerjaya seninya di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands, baru-baru ini.
Kembali mengenang momen sepanjang terlibat dalam industri seni, Haiza turut berkongsi antara pengalaman paling menyedihkan sepanjang bergelar anak seni ialah apabila dia pernah dituduh tidak berdisiplin sewaktu masih bersekolah.
“Waktu itu saya masih belajar dan sepatutnya muncul dalam siaran langsung Muzik Muzik untuk mencalonkan lagu Mana Tahan.
“Tiba-tiba saya kena hadir kelas tambahan. Lepas kelas, saya terus bergegas ke studio di Bangsar tapi jalan sangat sesak.
“Sampai saja, hos maklumkan saya tak dapat masuk sebab sudah terlewat. Saya berdiri depan pintu studio dan terus menangis kerana sangat kecewa,” dedah Haiza.
Dalam pada itu, Sebagai tanda meraikan 30 tahun perjalanan seni, Haiza turut melancarkan semula lagu popularnya Dag Dig Dug dalam versi baharu yang dikenali sebagai Dag Dig Dug 3.0.

Lagu ciptaan Dedi Abdul Kadir Nughra itu diberi nafas segar apabila Haiza sendiri terbang ke Bandung, Indonesia untuk merakamkan semula lagu berkenaan pada Disember lalu.
Versi baharu ini disuntik dengan elemen muzik koplo moden, hasil sentuhan penerbit dan penyusun muzik terkenal, Diki Suwarjiki.




