Gombak: “Saya terhutang budi dengan jururawat dan doktor yang banyak menjaga serta merawat arwah Afiq selama ini.
“Apa yang saya lakukan ini adalah demi menunaikan hajat arwah untuk memberikan cenderahati kepada mereka,” kata Muhammad Zaini Derahim, 50, bapa kepada arwah Mohd Afiq Ikmal.
Penerima hati pertama negara yang meninggal dunia pada 2 Mac lalu itu sempat membuat tempahan khas cenderahati sebagai menghargai pengorbanan jururawat dan doktor Hospital Selayang yang merawatnya.
Menurut Muhammad Zaini, Mohd Afiq membuat tempahan khas berkenaan tanpa pengetahuannya.
Katanya, dia hanya mengetahuinya melalui penderma hati kepada arwah, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45, selepas kematian anaknya itu.
“Saya kemudiannya periksa telefon bimbit arwah dan terjumpa perbualan aplikasi WhatsAppnya bersama individu yang menerima tempahan cenderahati itu lalu menghubungi dan meminta dia meneruskan hajat arwah.
“Semalam, saya berjumpa dengan wanita itu untuk mengambil tempahan dan membuat baki bayaran tetapi dia menolak, wanita berkenaan memberinya sebagai hadiah kepada arwah. Wanita itu turut menangis kerana tersentuh dengan kebaikan arwah,” katanya ditemui selepas menyampaikan cenderahati berkenaan di Hospital Selayang di sini, hari ini.
Muhammad Zaini menyerahkan 45 kotak cenderahati kepada wakil jururawat dan doktor di hospital berkenaan.
Katanya, dia sendiri tidak tahu isi kandungan cenderahati yang ditempah arwah sebaliknya hanya ingin menyempurnakan hajat berkenaan.
“Afiq merancang untuk memberikan cenderahati itu pada bulan ini, namun tidak kesampaian apabila arwah terlebih dahulu pergi menghadap Ilahi,” katanya.
Selain itu, Muhammad Zaini dan Wan Mohd Hafizam juga akan meneruskan kerja murni arwah yang selama ini memberi kaunseling dan motivasi kepada kanak-kanak senasib dengannya serta menubuhkan sebuah yayasan membantu kanak-kanak terbabit.
“Insya-Allah, kami akan teruskan mana yang arwah sudah buat demi kebaikan semua.
“Saya dan Wan Mohd Hafizam juga ada berbincang untuk menubuhkan yayasan membantu golongan seperti itu. Bagaimanapun, ia masih dalam perancangan dan kami mahu mencari dana serta penaja bagi menggerakkannya,” katanya.
Mohd Afiq, 23, meninggal dunia Subuh, 2 Mac lalu ketika dirawat di Hospital Selayang, akibat komplikasi hati.
Allahyarham mencatat sejarah apabila menjadi penerima hati pertama di Malaysia pada 1999 selepas menerimanya daripada Wan Mohd Hafizam.