am@hmetro.com.my
Dungun: “Arwah memang berhajat nak baiki rumah kerana mahu semua anak dan cucunya duduk berkumpul.
“Namun semuanya hanya tinggal kenangan,” kata Fatimah Muda, 57, apabila suaminya, Rasid Jusoh, 58, maut dalam perlanggaran dua bot gentian kaca di Sungai Paka, di sini, pada 6 ogos lalu.
Fatimah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, suaminya yang juga nelayan dalam perjalanan keluar menangkap ikan.
“Dalam perjalanan itu, bot suami dirempuh sebuah bot lain menyebabkan suami tercampak ke dalam sungai.
“Saya ingat suami hanya cedera ringan seperti kejadian dua tahun lalu kerana suami pernah kemalangan di laut selepas bot yang dikendalikannya terbalik dipukul ombak yang menyebabkan tangan kirinya patah.
“Sebaik sampai ke Klinik Kesihatan Paka kira-kira jam 7 pagi, saya tidak menyangka apabila dimaklumkan pegawai perubatan bahawa suami sudah meninggal dunia,” katanya.
Fatimah berkata demikian selepas menerima sumbangan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 daripada Ketua Pusat Satelit Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Dungun, Nik Suzairen Nik Zahib, hari ini.
Selain itu, Fatimah juga layak menerima Pencen Faedah Orang Tanggungan setiap bulan.
Fatimah berkata, kehidupannya berasa gelap sejak pemergian suami kerana tidak mempunyai pendapatan.
“Saya tidak tahu dan tidak dimaklumkan bahawa arwah suami ada mencarum dengan Perkeso.
“Bila pegawai Perkeso datang ke rumah bagi menyerahkan sumbangan, baru saya tahu suami ada membuat caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS). Syukur, sumbangan itu meringankan beban saya,” katanya.
Katanya, sebelum meninggal dunia, arwah suaminya tidak menunjukkan perubahan, tetapi banyak termenung.
“Arwah memang berhajat jika hasil jualan tangkapan memberangsangkan, dia akan menyimpan untuk membesarkan rumah kerana mahu tiga anak dan enam cucunya tinggal bersama.
“Namun, saya tak sangka tindakan suami keluar ke laut pagi hari kejadian membawa berita duka selepas dia terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




