
Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini telah diperjelaskan di dalam al-Quran melalui firma ALLAH dalam surah al-Rum ayat 21 yang bermaksud:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-NYA ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-NYA di antaramu rasa kasih dan sayang.”
Perkahwinan dalam Islam dibina atas dasar kasih sayang, tanggungjawab dan amanah. Matlamatnya adalah bagi mewujudkan keluarga yang bahagia, sakinah, mawaddah dan rahmah.
Namun, konflik antara suami dan isteri adakalanya tidak dapat dielakkan. Perbezaan cara berfikir, tekanan hidup, masalah ekonomi dan kelemahan dalam berkomunikasi antara faktor yang boleh mencetuskan shiqaq, iaitu perselisihan yang berterusan dan serius antara suami dan isteri sehingga menjejaskan keharmonian rumah tangga serta sukar dipulihkan melalui cara biasa.
Bagi menangani syiqaq tersebut, perundangan Islam telah menetapkan mekanisme pembubaran perkahwinan yang adil bagi kedua-dua pihak.
Selain kuasa talak yang terletak di tangan suami, isteri turut diberikan hak untuk memohon pembubaran perkahwinan melalui proses khuluk, fasakh dan taklik.
Malah, sistem perundangan Islam juga turut memperuntukkan penglibatan hakam sebagai antara kaedah penyelesaian dalam usaha untuk menamatkan perkahwinan yang tidak lagi dapat dipulihkan.
Fungsi dan pelantikan hakam
Hakam atau Muhakkam merupakan individu yang dilantik oleh pihak-pihak yang bertikai bagi membantu menyelesaikan pertikaian. Beliau berfungsi sebagai penimbang tara yang diberi kuasa oleh pihakpihak atau oleh pihak mahkamah untuk menyelesaikan shiqaq.
Penyelesaian shiqaq dalam perkahwinan dilaksanakan melalui satu pertemuan yang dinamakan sebagai Majlis Tahkim. Melalui Majlis Tahkim, hakam yang dilantik masingmasing oleh suami dan isteri akan cuba mencari jalan penyelesaian terhadap syiqaq yang berlaku, sama ada penyelesaian tersebut melalui usaha pendamaian (islah) atau berakhir dengan penceraian antara suami dan isteri tersebut.
Peranan Majlis Tahkim bukan untuk memihak kepada mana-mana pihak bertikai, tetapi bertujuan untuk memberi nasihat, menilai masalah dan mencari jalan perdamaian yang adil bagi suami dan isteri.
Hakam boleh dilantik dalam kalangan hakam Qarabah iaitu saudara karib suami dan isteri yang terdiri daripada lelaki atau perempuan, yang memenuhi kelayakan seorang hakam serta mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan hukum syarak untuk menyelesaikan perselisihan (shiqaq) antara suami dan isteri.
Saudara karib dalam konteks ini merujuk kepada individu yang mempunyai pertalian nasab, pertalian kekeluargaan yang terjalin melalui perkahwinan iaitu persemendaan atau susuan yang mengetahui keadaan rumah tangga pihak-pihak yang terlibat.
Selain Hakam Qarabah, terdapat juga Panel Hakam yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atas cadangan Jawatankuasa Hakam. Panel hakam ini berperanan sebagai penimbang tara yang diberi kuasa penuh oleh mahkamah untuk menyelesaikan shiqaq antara suami dan isteri.
Peranan hakam ini telah dinyatakan di dalam al-Quran dalam surah al-Nisa ayat 35 bermaksud:
“Dan jika kamu bimbang akan berlaku perpecahan antara keduanya, maka lantiklah seorang Hakam daripada keluarga lelaki dan seorang Hakam daripada keluarga perempuan.”
Matlamat utama pelantikan hakam adalah untuk mengusahakan perdamaian dan ALLAH menegaskan kepentingan usaha islah demi kebaikan serta keharmonian pasangan suami dan isteri.
Pelaksanaan hakam di negeri Selangor
Pelaksanaan hakam merupakan satu elemen penting di negeri Selangor dalam menangani kes- kes yang melibatkan syiqaq yang serius antara suami dan isteri bagi mencapai penyelesaian terbaik selaras dengan prinsip hukum syarak.
Pelaksanaan hakam di Mahkamah Syariah Negeri Selangor adalah berdasarkan kepada peruntukan yang dinyatakan dalam seksyen 48, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 [EUUKIS 2003], seperti yang berikut:
Timbang tara oleh hakam
48. (1) Jika mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak kepada suatu perkahwinan, mahkamah boleh melantik, mengikut hukum syarak, dua orang penimbangtara atau hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.”
Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 telah berjaya diwartakan pada 8 Mei 2014 bagi memperjelaskan peruntukan seksyen 48 EUUKIS 2003 tersebut. Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 ini memperuntukkan mengenai prosedur prosiding hakam secara lebih terperinci dan telah berjaya menyeragamkan pengendalian prosiding hakam di negeri Selangor.
Selain itu, pewujudan kaedahkaedah ini, antara lain adalah bagi memperkemaskan lagi fungsi dan peranan hakam, dalam usaha untuk mendamaikan pasangan suami isteri yang terlibat dalam pertikaian atau syiqaq yang berpanjangan.
Sekiranya usaha perdamaian tersebut gagal, penceraian oleh hakam hanya akan dilaksanakan sebagai langkah terakhir, namun melalui kaedah yang lebih harmoni kerana pihak-pihak tidak perlu melalui proses perbicaraan yang panjang di mahkamah terbuka.
Sebelum Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 ini ditubuhkan, pelaksanaan hakam di Mahkamah Syariah adalah berdasarkan kepada Arahan Amalan Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie (Arahan Amalan), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), No. 1 Tahun 2006.
Arahan Amalan ini telah diguna pakai di negeri Selangor dan negerinegeri lain di seluruh Malaysia. Kewujudan Arahan Amalan tersebut telah mendorong Mahkamah Syariah Selangor untuk melaksanakan prosiding hakam secara lebih aktif dalam kes-kes penceraian dengan melantik Pegawai Sulh Selangor sebagai Panel Hakam pada ketika itu.
Keistimewaan pelaksanaan Majlis Tahkim adalah apabila keutamaan akan diberikan kepada saudaramara terdekat dari pihak suami dan isteri yang terlibat, yang mengetahui secara langsung latar belakang dan keadaan sebenar rumah tangga pihak-pihak untuk dilantik sebagai hakam.
Pendekatan ini dilihat berupaya menyelesaikan syiqaq antara suami isteri dengan lebih berkesan, di samping memastikan aib dan kehormatan rumah tangga pihak terus terpelihara.
Bagaimanapun, sekiranya hakam yang dilantik tersebut gagal mencapai persetujuan atau mahkamah tidak berpuas hati dengan cara suatu Majlis Tahkim dijalankan, mahkamah mempunyai kuasa untuk memecat hakam berkenaan dan melantik Panel Hakam yang dilantik oleh pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai pengganti.
Dalam keadaan sedemikian, mahkamah hendaklah memberikan kuasa penuh kepada hakam sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perenggan 11(2)(b), tertakluk kepada Subkaedah 11(3) KaedahKaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014.
Peruntukan tersebut menyatakan bahawa kuasa penuh yang boleh diberikan oleh prinsipal kepada hakam masing-masing, adalah seperti yang berikut:
1. Bagi pihak suami, beliau boleh memberi kuasa kepada hakamnya untuk melafazkan satu talak atau melaksanakan khuluk di hadapan mahkamah; dan
2. Bagi pihak isteri, beliau boleh memberi kuasa kepada hakamnya untuk menerima lafaz khuluk di hadapan mahkamah.
Peranan hakam dalam membantu menyelesaikan konflik rumah tangga
1. Sebagai pendamai
Hakam berperanan mendamaikan pasangan suami isteri sebelum perceraian diputuskan. Melalui Majlis Tahkim, hakam membantu mencari jalan penyelesaian dan jika perdamaian berjaya dicapai, mahkamah akan mengeluarkan perintah supaya pasangan meneruskan kehidupan berumah tangga.
2. Menyelesaikan kes isteri digantung tidak bertali
Dalam kes suami mengabaikan isteri dan enggan hadir ke mahkamah, mahkamah boleh memberi kuasa kepada hakam untuk bertindak bagi pihak suami, termasuk melafazkan talak. Langkah ini melindungi hak isteri dan menamatkan penderitaan akibat status perkahwinan yang tidak menentu.
3. Mempercepatkan prosiding perceraian
Kaedah hakam membantu mempercepatkan penyelesaian kes perceraian, terutama apabila salah satu pihak tidak memberikan kerjasama. Ia membolehkan kes diselesaikan dengan lebih cepat serta memberi peluang kepada pihak yang teraniaya, khususnya isteri, untuk meneruskan kehidupan baharu.
Kesimpulan
Pelaksanaan hakam mencerminkan sifat rahmah dalam Islam. Tujuannya bukan untuk mencari kesalahan tetapi untuk memulihkan hubungan, memperbetulkan ketidakseimbangan dan mengembalikan keharmonian keluarga.
Melalui mekanisme hakam juga, suatu konfl ik rumah tangga dapat diselesaikan secara adil, berhikmah dan selaras dengan prinsip Islam, sekaligus memelihara kesejahteraan individu dan keluarga.
*Artikel ini dihasilkan oleh Majlis Agama Islam Selangor.



