redzuan.muharam@hmetro.com.my
Petaling Jaya: “Ada yang menyangka saya bukan orang Malaysia kerana buat persembahan di pertunjukan sarkas.
“Hakikatnya saya orang Shah Alam dan anak Malaysia. Daripada situ, saya percaya ramai orang hargai cuma mungkin tak didedahkan (mengenai kerjaya),” kata Syamsudin Noh atau dikenali Sharm Noh yang berpengalaman sebagai artis sarkas sejak lapan tahun lalu.
Bakat Sharm, 33, mendapat perhatian warganet selepas perkongsian videonya melakukan gerakan akrobatik meraih lebih dua juta tontonan di Threads.
Sharm, 33, bermula sebagai artis namun kini lebih aktif sebagai koreografer yang bertanggungjawab melatih bakat baru artis sarkas dari dalam dan luar negara.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Tari (Koreografi) Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia bermula sebagai penari teater muzikal selepas tamat pengajian sebelum beralih menjadi artis sarkas.
Katanya, peralihan kerjaya itu tidak sukar kerana sudah ada asas menari cuma perlu belajar teknik baharu berkaitan seni akrobatik atas lantai dan udara dalam pertunjukan sarkas.
“Permulaannya pada 2017 selepas saya pergi ke sambutan hari jadi kawan dan nampak dia buat pertunjukan.
“Waktu itu, timbul keinginan untuk mencuba kerana nampak ia sesuatu yang baru dan dapat tunjuk ajar daripada individu berpengalaman namun selebihnya belajar sendiri daripada pemerhatian.
“Transisi daripada seorang penari menjadi artis sarkas tak susah cuma cabaran saya adalah ketinggian kerana tinggi saya 190 sentimeter (sm) jadi kena buat lebih latihan untuk cantikkan pergerakan sebab saiz kaki yang panjang,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Sharm, cabaran lain perlu ditanganinya adalah membiasakan diri dengan rutin akrobatik yang menuntut banyak pergerakan badan kerana dia mudah pening.
Bagaimanapun, latihan konsisten membantunya membiasakan diri dengan aktiviti yang menuntut ketahanan mental juga fizikal kerana berdepan risiko cedera dan boleh mengancam nyawa jika melakukan kesilapan.
“Cedera sudah banyak kali dan itu perkara biasa… pernah juga buat silap namun kenangan tak dapat dilupakan ketika buat persembahan di satu taman tema di Johor Bahru, Johor apabila salah satu props digunakan tercampak hingga hancur berkecai.
“Tak tahu nak buat apa waktu itu kerana walau macam mana pun, persembahan perlu diteruskan jadi gunakan saja serpihan props itu. Orang yang menonton mungkin ingat ia sudah dirancang hakikatnya kesilapan.
“Pernah juga satu ketika, saya hampir terjatuh kerana kaki tak dapat keluar daripada tali dan malu bila ingat semula kenangan itu,” katanya.
Sharm berkata, dia bertahan kerana minat dan sokongan keluarga terutama Allahyarham Halimah Yusof juga bapa Noh Ibrahim yang banyak memberinya galakan sebelum kedua-duanya dijemput Ilahi.
Meskipun begitu, Sharm mengakui ada juga segelintir individu mempersoalkan apa yang dilakukan.
“Ikutkan, saya sudah banyak kali buat persembahan di luar negara antaranya Korea, Jepun dan Maldives.
“Tapi biasalah, ada yang tak faham dan ingat saya jadi badut bila sebut sarkas tapi sekarang, ramai kagum bila tahu kebolehan saya.
“Saya fikir positif saja kerana anggap mereka bukan nak hina tapi mahu tahu jadi saya yang kena bantu fahamkan seni pertunjukan sarkas, salah satunya menerusi perkongsian di media sosial,” katanya yang pernah mendapat tempat ketiga dalam kategori berkumpulan dan anugerah khas individu ketika mewakili negara dalam pertandingan menari di Korea Selatan.
Kata Sharm, dia kini jarang membuat persembahan kerana lebih memberi tumpuan kepada kerja hakikinya sebagai pencipta kandungan.
Bagaimanapun, dia ada juga berkongsi ilmu dan pengalaman pada waktu terluang dengan menjadi tenaga pengajar sambilan dan mengakui ia lebih memberi kepuasan buatnya.
“Sebagai pengajar, saya lebih puas jika anak didik buat lebih baik daripada saya cuma mengajar ini menuntut banyak kesabaran.
“Tapi saya yang kena pandai cungkil dan asah bakat mereka dan akui ramai anak tempatan yang berbakat jadi itu yang mahal.
“Saya alukan bakat baru untuk ceburi bidang ini cuma kena kuat mental dan fizikal, tahan sakit, tak boleh manja. Saya pun tak pernah putus asa malah kesilapan lalu yang buat saya jadi semakin kuat,” katanya yang juga pemegang Diploma Seni Persembahan lulusan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
© New Straits Times Press (M) Bhd




