
Hakim Danish giat perkemaskan latihan di Sepanyol. Foto Facebook ZK Racing
PELUMBA remaja sensasi negara, Muhammad Hakim Danish Ramli terus memperkemas persiapan menghadapi musim perlumbaan antarabangsa apabila menjalani latihan intensif di Sepanyol sejak Mei lalu.
Pelumba berusia 17 tahun berpangkalan di Barcelona, itu kini mempersiapkan diri bagi menghadapi dua pentas utama FIM JuniorGP dan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025, dengan harapan mencipta impak besar sebagai wakil tunggal negara dalam kedua-dua kejohanan elit tersebut.
Sepanjang berada di Eropah, Hakim Danish turut menjalani sesi latihan bersama rakan senegara, Qabil Irfan Azlan, yang turut menyertai saingan Pusingan 2 dan 3 Kejohanan Superbike Sepanyol (ESBK).
Mereka bukan sahaja berlatih bersama, malah Hakim Danish turut memberi sokongan di litar apabila hadir ke Motorland Aragon semasa perlumbaan Qabil Irfan dalam pusingan terbaharu kejohanan itu.
Ketika ini, Hakim Danish berada di kedudukan keempat keseluruhan dalam carta FIM JuniorGP dengan kutipan 38 mata ketinggalan 37 mata di belakang pendahulu dari Sepanyol, Brian Uriarte, yang juga merupakan pencabar utamanya dalam kejohanan itu.
Dalam usaha mempersiapkan diri bagi menghadapi Pusingan 3 minggu ini, Hakim Danish telah menjalani sesi ujian tertutup bersama pasukan di Litar Magny-Cours, Perancis, dua minggu lalu.
Jelas Hakim Danish, ini antara langkah penting bagi mengenal pasti data teknikal serta pelarasan jentera yang lebih optimum.
“Saya telah berpeluang mencuba litar baharu ini dua minggu lalu. Ia agak mencabar dan teknikal.
“Saya perlu terus perbaiki tunggangan serta cari pelarasan terbaik. Diharap minggu perlumbaan kali ini berjalan lancar,” kata Hakim Danish yang semakin matang dari segi pendekatan taktikal dan teknikal.