Hakim Danish tawan Aragon

Hakim Danish tawan Aragon
Muhammad Hakim Danish Ramli mengulangi pencapaian musim lalu apabila menjuarai perlumbaan kedua pusingan ketiga MotoGP

Muhammad Hakim Danish Ramli mengulangi pencapaian musim lalu apabila menjuarai perlumbaan kedua pusingan ketiga MotoGP

PELUMBA muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli mengulangi pencapaian musim lalu apabila menjuarai perlumbaan kedua pusingan ketiga MotoGP saingan Rookies Cup di MotorLand Aragon, Sepanyol pada Ahad.

Lebih manis lagi kejayaan itu merupakan kemenangan beliau yang pertama musim ini dan juga penamat podium kedua di pusingan ketiga buat dirinya selepas menamatkan perlumbaan pertama di tempat kedua pada Sabtu.

Pada perlumbaan kedua, pelumba berusia 17 tahun yang bermula di petak ketujuh itu berjaya memintas satu demi satu lawannya dan terus cemerlang menampilkan tunggangan memukau pada dua pusingan terakhir untuk memenangi perlumbaan dengan catatan 26 minit 52.773 saat (s).

Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte terpaksa akur di tempat kedua selepas hanya dibezakan 0.188 saat (s) manakala rakan senegaranya David Gonzalez meraih tempat ketiga dengan catatan 26 minit 52.968s.

“Ya, akhirnya kami meraih P1. Perlumbaan tadi sangat hebat untuk hari ini dan agak sukar…Saya ingin mengucapkan terima kasih banyak kepada penaja saya dan keluarga dan semua rakan saya yang menyokong saya dan selamat hari raya Aidiladha kepada semua rakyat Malaysia,” katanya sejurus selepas perlumbaan.

Kemenangan yang diraih Hakim Danish menyaksikan anak jati Terengganu itu melebarkan kedudukan pendahulu dengan mengumpul 125 mata, mempunyai kelebihan 30 mata berbanding Uriarte di tempat kedua.

Perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Mugello Itali pada 21 dan 22 Jun depan.

Scroll to Top