zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menamatkan perkhidmatannya hari ini, dengan harapan generasi pelapis dalam kalangan hakim meneruskan legasi badan kehakiman Malaysia yang menegakkan keadilan.
Abang Iskandar berkata, beliau percaya hakim berkenaan akan mentadbir dan menegakkan sistem keadilan dengan telus, jujur dan amanah, tanpa rasa takut, gentar atau pilih kasih.
“Saya doakan supaya legasi badan kehakiman Malaysia yang menegakkan keadilan diteruskan oleh generasi pelapis dalam kalangan hakim,” katanya dalam nota terakhir sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, hari ini.
Abang Iskandar akan bersara wajib mulai esok, sehari selepas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Menyifatkan perjalanan kariernya sebagai seorang hakim selama 18 tahun penuh dengan liku yang mewarnai kisah dan kenangan amat bermakna, Abang Iskandar berkata, beliau bersyukur atas segala peluang yang diberikan kepadanya.
“Dalam tempoh itu, saya bertemu dengan ramai insan yang baik, berdedikasi dan berhati mulia dalam kalangan hakim, warga mahkamah, pengamal undang-undang dan ahli akademik, yang sentiasa memberikan kerjasama baik demi menegakkan keadilan sejagat.
“Maka, ia mempermudahkan urusan saya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang saya galas sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan sebagai seorang Hakim Mahkamah Persekutuan. Sumbangan mereka semua amatlah saya hargai,” katanya.
Abang Iskandar juga mengakui akan merindui suasana kerja, persahabatan dan wajah yang ditemuinya setiap hari dan mendoakan mereka terus berjaya dalam kerjaya serta kehidupan masing masing.
“Terima kasih atas persahabatan dan sokongan yang diberikan kepada saya selama ini.
“Perasaan saya hari ini sesungguhnya bercampur baur antara gembira dan sedih. Selepas ini, saya akan memulakan fasa baru dalam kehidupan saya, dengan lebih masa untuk keluarga, aktiviti amal dan hobi.
“Saya meninggalkan tugas ini dengan penuh rasa syukur, keinsafan dan hati yang tenang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd