PUTRAJAYA: Vazeer Alam Mydin Meera, yang menganggotai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, menarik diri daripada mendengar kes pengislaman sepihak dua kanak-kanak kerana mengenali ibu bapa mereka.
Beliau berkata, tidak wajar untuknya mendengar rayuan itu.
Susulan itu, Lau Bee Lan yang mempengerusikan panel itu menjadualkan semula pendengaran rayuan kes berkenaan ke 29 Jun ini.
Pendaftar muallaf Wilayah Persekutuan dan ibu kanak-kanak terbabit yang memeluk Islam mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan sijil memeluk Islam dua beradik itu.
Turut bersidang Mohd Sofian Abd Razak.
Pada 16 Okt 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman bapa kanak-kanak terbabit yang beragama Buddha untuk membatalkan pengislaman sepihak mereka, yang dilahirkan menerusi perkahwinan sivil ketika bekas isterinya menganut agama Buddha.
Hakim Mahkamah Tinggi, Azizah Nawawi (kini hakim Mahkamah Rayuan) dalam penghakimannya berkata, fakta yang tidak boleh dipertikai ialah sijil masuk Islam kedua-dua beradik itu dikeluarkan tanpa kebenaran bapa mereka.
Katanya, beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi yang menyaksikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan pada Januari 2018 memutuskan kebenaran kedua-dua ibu bapa diperlukan sebelum kanak-kanak yang dilahirkan menerusi perkahwinan sivil ditukarkan agamanya kepada Islam.
Dalam kes Indira, seorang ibu yang menganut agama Hindu memfailkan permohonan semakan kehakiman sama bagi mencabar tindakan bekas suaminya yang memeluk Islam menukarkan agama tiga anak mereka secara sepihak.
Dalam kes hari ini, bapa dua beradik itu memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan pengislaman mereka pada Mei 2016 yang didakwa dilakukan tanpa pengetahuan dan kebenarannya.
Identiti ahli keluarga itu tidak boleh didedahkan susulan perintah Mahkamah Tinggi pada 21 Mei 2018.
Pada September 2018, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan hak penjagaan penuh dua beradik itu diberikan kepada bapa mereka, selepas si ibu gagal memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan berhubung perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.
Peguam Sulaiman Abdullah mewakili pendaftar muallaf Wilayah Persekutuan, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Rosli Ahmad hadir bagi pihak ketua pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, ketua pengarah Kementerian Pendidikan dan kerajaan.
Peguam K Shanmuga mewakili bapa dua beradik itu, manakala Arham Rahimy Hariri hadir bagi pihak ibu mereka.