nurul_husna@hmetro.com.my
Meraikan budaya tempatan dan mahu menjadi sebahagian daripada komuniti, IKEA Malaysia melihat komitmen dalam pensijilan Halal satu aspek yang penting.
Malah, Pengarah Runcit Negara, Malcolm Pruys, menyifatkan pengalaman penuh makna sepanjang dia bersama kakitangannya ‘mendalami’ semua proses itu.
Bermula dari logistik sehinggalah ke meja makan membuatkan dia serta keluarga IKEA memahami status Halal bukan sekadar penyediaan makanan.
Penting untuk IKEA menunjukkan komitmen yang mana nilai penting iaitu keyakinan dan keselesaan menikmati setiap sajian kegemaran di pusat peruncitan itu terjamin dengan pengiktirafan Halal oleh JAKIM.
“IKEA sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan dalam komuniti di Malaysia.
“Tentu sahaja memiliki perniagaan makanan dan minuman, IKEA selama ini sudah sedia mempraktikkan prinsip Halal dalam segenap aspek termasuklah memastikan setiap pembekal ada pensijilan Halal diiktiraf oleh Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), penyediaan makanan dengan baik dan tiada langsung penggunaan sumber daging yang haram seperti alkohol atau daging khinzir.
“Langkah lebih penting lagi kami sedia ambil komitmen memastikan setiap restoran, cafe dan bistro di Malaysia mendapat pensijilan Halal.
“Ia bukan sekadar peraturan sebaliknya sesuatu yang sangat penting dalam masyarakat di Malaysia.
“Ia berkenaan dengan pendirian, kehormatan dalam sesuatu budaya dan keyakinan rohani,” katanya.
Tambah Malcolm lagi, pensijilan Halal bukan sesuatu yang rumit sebaliknya ia memiliki garis panduan yang jelas malah satu standard baik untuk pemain industri makanan.
“Perjalanan atau proses pensijilan Halal bagi IKEA yang memiliki rangkaian peruncitan global melihat pensijilan Halal sesuatu pembelajaran yang baik.
“Ia memiliki standard yang jelas dan mudah diikuti selain kerjasama dan sokongan JAKIM yang sangat membantu memudahkan saya dan pasukan yang terbabit dalam perjalanan ini mendapat status Halal untuk semua rangkaian perniagaan makanan kami.
“Meskipun ada perubahan iaitu dari segi logistik dan pertukaran pembekal bahan dalam penyediaan makanan, ini juga membuka peluang dan memperluas keterlibatan syarikat tempatan dalam perniagaan makanan IKEA,” katanya.
Kata Malcolm lagi, proses pensijilan Halal itu tidak menjejaskan pilihan menu hidangan Sweden sedia ada yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.
“Tidak dinafikan ada perubahan kecil terhadap pilihan menu apabila melalui proses pensijilan Halal tetapi berita baiknya menu tradisi Sweden, sajian bebola daging tidak terjejas.
“Malah, ia mempelbagaikan juadah ditawarkan termasuklah menu tempatan seperti karipap ayam dan kepak ayam yang menjadi menu kegemaran rakyat Malaysia,” katanya.
Menyentuh sudut dengan pensijilan Halal dan kenaikan kos memberi kesan kepada harga makanan dijual di restoran, kafe atau bistro, IKEA berusaha memastikan harga makanan tidak membebankan peminat setia hidangannya.
“Kami di IKEA berpegang teguh pada prinsip untuk memastikan segala-gala yang ditawarkan, sama ada kelengkapan rumah mahupun makanan, sentiasa berkualiti tinggi, mudah diakses, dan pada harga yang berpatutan supaya dapat dimiliki serta dinikmati oleh seramai mungkin orang.
“Bagi memastikan pelanggan terus menikmati nilai terbaik kami juga sentiasa meninjau dan menyemak harga semasa berpandukan keadaan pasaran agar harga makanan berada pada paras paling minimum tanpa berkompromi dengan kualiti yang diberi,” katanya.
Beliau tidak lupa menjelaskan IKEA yang sudah bertapak hampir tiga dekad, menyifatkan pelanggan di Malaysia memiliki ‘sentimental’ yang tinggi apabila begitu meraikan budaya dan nilai selain menghormati budaya lain dengan baik.
Justeru, pihaknya sentiasa berusaha menjadi rangkaian peruncitan yang dekat ‘di hati’ rakyat tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




