Halang trafik di lebuh raya: Penarik kereta, pemandu Volkswagen Golf didakwa

Halang trafik di lebuh raya: Penarik kereta, pemandu Volkswagen Golf didakwa

am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Penarik kereta dan pemandu kenderaan yang tular kerana menghalang laluan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat Plaza Tol Pedas-Linggi pada 1 Julai lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mereka didakwa secara berasingan atas kesalahan memandu secara berbahaya dan mengganggu aliran trafik awam.

Penarik kereta, R Suren, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Suren didakwa memandu secara gopoh dan berbahaya dengan memberhentikan kenderaannya di jalan awam sehingga boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan jam 7.50 malam, 1 Julai lalu di Kilometer (KM) 225.5 Lebuhraya PLUS arah selatan, berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi.

Justeru dia berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Suren bersama dua lagi individu yang masih bebas, didakwa secara bersama-sama menghalang pergerakan kenderaan dipandu oleh Ang Wei Foong, 38, di lokasi dan waktu sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga satu bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahana Athirah Yaccob, mencadangkan jaminan RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya hadir secara sukarela ke mahkamah selain sudah berkahwin serta mempunyai dua anak berusia 14 dan 15 tahun dan bekerja sebagai penarik kereta dengan pendapatan tidak tetap.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 September depan bagi sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, Wei Foong didakwa kerana memandu Volkswagen Golf secara gopoh dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain dengan melawan arus.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Wei Foong yang tidak diwakili peguam, mengaku tidak bersalah dan merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kerana hanya bekerja di sebuah kedai motosikal serta mempunyai dua anak kecil yang perlu ditanggung.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 September depan bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 35 saat di media sosial memaparkan tiga kenderaan berhenti secara melintang di lebuh raya, menyebabkan kesesakan dan gangguan aliran trafik.

Insiden itu mencetuskan kemarahan pengguna jalan raya serta mendorong polis membuka tiga kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top