Mahkamah Sesyen Kota Bharu telah memerintahkan seorang bekas pengedar Bawal Exclusive Sdn Bhd, Rosmaliza Mansor, membayar ganti rugi sebanyak RM70,000 kepada syarikat itu serta dua lagi pihak atas dakwaan fitnah dan kenyataan berniat jahat di media sosial.
Bawal Exclusive bersama Bawal Sdn. Bhd. dan pengasasnya, Haliza Maysuri, memfailkan saman pada 18 Oktober 2024 berhubung satu hantaran di Facebook Rosmaliza yang didakwa memperlekeh usaha pemasaran produk mereka di TikTok.
Haliza selaku Pengasas dan Pengarah Pemasaran Bawal Exclusive mengadakan sidang media mengenai isu ini di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Turut hadir adalah Mohd Rosli Awang selaku Pengarah Urusan Bawal Exclusive dan Datuk Adnan Seman yang mewakili firma guaman Adnan Sharida & Associates.
“Rosmaliza Mansor merupakan bekas pengedar produk syarikat Bawal Exclusive Sdn. Bhd. dan Bawal Sdn. Bhd. sejak tahun 2017 hingga 2022.
“Selepas tempoh itu tamat, syarikat memilih untuk tidak meneruskan beliau sebagai pengedar produk,” kata Adnan mewakili firma guaman Adnan Sharida & Associates.
Tambah Adnan, syarikat mendakwa hantaran yang dikongsikan di Facebook itu memberikan gambaran negatif.
“Tindakan beliau telah membawa kefahaman kepada orang awam bahawa pihak syarikat dan Haliza telah bertindak tidak adil kepada pengedar-pengedar yang diberi kebenaran untuk menjual produk-produk syarikat, sekali gus menjejaskan reputasi yang dibina sejak 1998.
“Mahkamah juga mendapati Rosmaliza tidak menghadirkan diri sepanjang prosiding dan pada 1 Januari 2025. Dia diperintahkan untuk menurunkan kenyataan fitnah tersebut dari akaun media sosialnya serta dilarang mengulangi sebarang kenyataan sama,” katanya.
Selain bayaran ganti rugi, Rosmaliza turut diarahkan membayar RM570 kepada Bawal Sdn. Bhd. atas satu invois tertunggak.
“Kami tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan reputasi anak guam kami. Kami berharap tindakan ini menjadi pengajaran agar masyarakat lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan di media sosial,” jelas Adnan lagi.