Haloba apa jasad dirompak?

Haloba apa jasad dirompak?

rama@mediaprima.com.my

Kakak saya meninggal dunia secara tragik. Detik itu masih segar dalam sanubari. Sabtu, 16 Oktober – tanggal yang meragut sebahagian semangat keluarga saya – sehingga kini.

Dalam pelukan malam yang sejuk pada musim tengkujuh, khabar duka itu sampai. Kakak terbunuh dalam satu nahas. Dunia terasa terhenti sekejap. Kelam. Suram.

Ibu yang paling terkesan. Usia kakak ketika itu 32 tahun. Tiada apa yang lebih pilu buat ibu bapa melainkan kehilangan zuriat ketika hayat mereka. Lama ibu hidup bertemankan air mata.

Kini, 25 tahun sudah berlalu. Masa memang mengubati luka duka, namun ia tidak pernah sembuh. Kakak terus hidup dalam memori kami sekeluarga.

Satu harta tidak ternilai yang ditinggalkan kakak untuk kenangan abadi kami adalah rantai emas yang dipakainya sewaktu insiden malang berkenaan.

Rantai itu kami kalungkan pada gambar kakak sejak pemergian dia sebagai tanda kasih kami kepadanya. Tempoh hari, ketika sambutan Deepavali, seperti saban tahun, saya membersihkan rantai emas berkenaan. Nostalgia kembali terusik.

Rantai itu adalah hadiah pemberian mendiang ayah kepada kakak. Memang sentimental. Tiada rantai lain, biar semahal mana pun, dapat menggantikannya.

Justeru, saya memahami sepenuhnya gelora emosi yang ditempuhi Syazwan Abdullah, 59. Berita kematian anak perempuannya yang ditemui dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak, ibu kota pada 1 Oktober lalu pastinya sesuatu yang menghancurkan secara emosi. Arwah meninggal dunia akibat serangan sakit jantung.

Namun, lara Syazwan sekeluarga yang berasal dari Sabah hanya bertambah mendalam apabila mendapati barang kemas yang dipakai arwah ketika kejadian hilang.

Sebaik jenazah anaknya selamat dikebumikan di Banting, Selangor, Syazwan terdetik untuk mencari rantai, loket serta gelang emas pemberian nenek serta kakak yang dipakai arwah. Namun, ia gagal ditemui.

Episod menyedihkan seterusnya yang dilalui Syazwan mendedahkan betapa ada manusia begitu rakus mencari kesenangan hidup yang jijik dan memualkan atas air mata orang lain. Perikemanusiaan mati. Suara hati mati. Wang jadi segala-galanya.

Apabila Syazwan mendekati media massa dengan kisah dukacita untuk mendapatkan keadilan, jelas pihak yang sepatutnya memberikan keadilan untuk arwah anaknya telah gagal berbuat demikian.

Syazwan adalah seorang bekas pegawai kanan polis. Jika beliau yang pernah memikul amanah menegakkan kebenaran dinafikan keadilan, apalah nasib kita, orang kebanyakan – tanpa kuasa dan pengaruh!

Syazwan tidak bercakap kosong. Beliau bercakap dengan bukti.

“Pada hari kejadian, bomba ada mengambil gambar sebelum dan selepas mereka memecahkan cermin kereta itu,” katanya.

Berdasarkan gambar daripada bomba, terdapat rantai serta gelang emas yang dipakai anaknya sebelum jenazah diserahkan kepada polis.

“Sangat jelas dalam gambar itu (daripada pihak bomba) anak saya masih memakai barang kemas berkenaan, tetapi dalam gambar yang diberikan polis pula sudah tiada rantai serta gelang emas,” katanya.

Beliau syak barang kemas itu diambil ketika jenazah anaknya masih di dalam kereta sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Setelah tidak mendapat kerjasama sewaktu siasatan, beliau mendekati Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Jips) Bukit Aman. Namun, buntu juga.

Polis hanya membuka kertas inkuiri (KEP) dan bukannya kertas siasatan. KEP adalah dokumen rasmi yang digunakan oleh polis untuk merekod maklumat berkaitan dengan siasatan sesuatu kes.

Perjuangan Syazwan hanya mula memberikan hasil apabila beliau membawa permasalahannya kepada pengetahuan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar, yang kemudian membangkitkannya di Dewan Rakyat.

Dengan pantas, segala-galanya mula bergerak cepat seperti yang sepatutnya. Polis mengumumkan empat anggota polis yang berpangkat konstabel hingga koperal berusia antara 28 dan 35 tahun diberkas.

Kertas siasatan dibuka menggantikan KEP dengan pembongkaran dibuat semula di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Polis turut merampas sekeping resit dan seketul logam berwarna kuning dengan berat dianggarkan 11.52 gram.

Kita sebenarnya berdepan dengan masalah yang serius jika setiap kerumitan yang dihadapi rakyat harus dibangkitkan di Parlimen untuk mendapatkan keadilan. Apa sudah jadi dengan sistem yang diguna pakai? Apakah ia gagal berfungsi sehingga mendorong seorang ayah bermati-matian berjuang untuk arwah anak yang haknya dicabuli secara terang-terangan? Atau ada orang merencatkan sistem berkenaan?

Lebih serius daripada itu ialah kesanggupan penguat kuasa undang-undang merompak jasad seorang gadis yang pergi dalam keadaan menyayat hati. Mereka fikir mayat tidak akan bercakap, tetapi mereka lupa kebenaran tidak akan mati.

Sepanjang menjadi wartawan, saya pernah menemu ramah penjenayah. Sejahat manapun, ada antara penjenayah berkenaan mengamalkan ‘keadilan’ sendiri. Ada antara mereka tidak akan merompak ibu hamil, orang tua dan mayat. Sekurang-kurangnya mereka ada prinsip walaupun penjenayah!

Semua barang kemas yang dipakai anak Syazwan sudah dijual dan dicairkan. Ia kini dalam bentuk ketulan emas. Apapun memori yang lebih berharga berbanding barang kemas itu adalah perjuangan Syazwan untuk mendapatkan keadilan buat arwah anak tercintanya walaupun jalan yang dilaluinya berliku.

Pastinya arwah bangga memiliki bapa sedemikian.

Penulis adalah wartawan Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top