HAMAS di sebalik berdepan Operasi Gideon Israel

HAMAS di sebalik berdepan Operasi Gideon Israel

– Advertisement –

TENTERA Israel telah mengumumkan operasi besar-besaran untuk menumpaskan HAMAS di Gaza pada awal hari Sabtu, 17 Mei 2025. Menurut sumber tentera regim penjajah itu, operasi ini melibatkan pasukan tentera yang bertugas dan tentera simpanan dari utara ke selatan secara meluas ke seluruh Gaza.

– Advertisement –

Pada Ahad, 18 Mei 2025, tentera Israel telah melancarkan fasa baharu merentasi beberapa wilayah Gaza.

Ini menandakan bermulanya apa yang dipanggil sebagai ‘Operasi Gideon’ walaupun rundingan mengenai gencatan senjata dan pembebasan tebusan sedang diteruskan di Doha melibatkan negara-negara perantara Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat.

Media di Israel turut mendedahkan bahawa walaupun operasi yang dirancang adalah lebih luas, Israel nampaknya tidak menggunakan semua fasiliti ketenteraan sedia ada. Berkemungkinan hal ini berpunca daripada anggota tentera yang tidak mencukupi.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetap menegaskan operasi tersebut bertujuan untuk menghapuskan HAMAS dan membebaskan kesemua baki tebusan.

Namun, apa disaksikan saban hari ialah kematian penduduk awam yang berlindung di khemah-khemah pelarian dan mereka yang sedang mendapat rawatan perubatan.

Tentera Israel telah melakukan serangan selama setahun setengah ternyata tindakan itu masih tidak dapat memaksa HAMAS untuk menyerah kalah, sebaliknya mengorbankan nyawa penduduk yang tidak bersenjata.

Dalam perkembangan berkaitan, HAMAS telah bercadang untuk membebaskan lebih banyak tebusan di bawah perjanjian gencatan senjata baharu di Gaza, selepas rundingan diadakan pada hari Sabtu itu dalam masa beberapa jam selepas tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran di Semenanjung Gaza.

Pusingan baharu rundingan gencatan senjata sedang diadakan melalui pengantara Qatar dan AS di Doha, di mana pihak HAMAS telah bersetuju untuk membebaskan sembilan tebusan sebagai pertukaran untuk gencatan senjata selama 60 hari dan menuntut Israel membebaskan sejumlah tahanan Palestin.

Perjanjian baharu yang dicadangkan itu juga akan membolehkan kemasukan 400 trak bantuan sehari dan penghantaran pesakit dari Gaza untuk mendapatkan rawatan di luar.

Sebaliknya, pihak Israel telah menuntut bukti bahawa sembilan orang tebusan dimaksudkan itu masih hidup dan maklumat terperinci tentang semua baki tebusan yang masih dalam tahanan HAMAS.

‘Operasi Gideon’ dilancarkan di tengah-tengah gelombang serangan paling dahsyat di Gaza sejak beberapa bulan. Sekurang-kurangnya 300 orang terbunuh sejak minggu lalu di kem pelarian utara dan selatan Gaza.

Setakat ini tiada maklum balas HAMAS mengenai operasi tersebut, sebaliknya kumpulan pejuang tersebut tetap meneruskan rundingan sedang berlangsung di Qatar untuk mengakhiri perang yang sudah berlarutan lebih 19 bulan.

‘Operasi Gideon’ ini mengikut rancangannya dijangka akan berlarutan kira-kira setahun. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati kebanyakan anggota tentera Israel yang lebih cenderung kepada gencatan senjata dan ramai mengandaikan sudah sampai masa perang ini dihentikan.

IMRAN AL-MALIZI – HARAKAHDAILY 20/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

– Advertisement –

Scroll to Top