
Penduduk Palestin yang kembali ke Beit Hanoun di utara Gaza kini hanya berlindung di bawah khemah sementara. Foto AFP
GENTING GAZA – Gerakan Hamas menegaskan mereka tidak akan tunduk dengan ancaman Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang berulang kali mendesak pembebasan tawanan di Gaza seperti dijadualkan pada Sabtu ini.
Jurucakapnya, Hazem Qassem pada Rabu berkata, Tel Aviv tidak mengendahkan pelaksanaan beberapa peruntukan yang ditetapkan dalam perjanjian gencatan senjata tersebut.
āKedudukan kami adalah jelas dan tidak tergugat dengan taktik ugutan Zionis dan sekutunya,ā ujarnya merujuk kepada kenyataan provokasi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mengancam mahu melancarkan semula perang ke atas wilayah tersebut dengan impak yang lebih dahsyat.
āPerang baharu ke atas Gaza akan lebih sengit berbanding sebelum itu. Ia tidak akan berakhir selagi Hamas tidak dihapuskan sepenuhnya dan pembebasan kesemua baki tawanan.
āIa juga bagi membolehkan Presiden Donald Trump merealisasikan visi Gaza beliau,ā kata Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz dengan angkuh yang kononnya cuba menggertak Hamas.
Sementara itu, gerakan Jihad Islam memberi amaran kepada Netanyahu dengan menyatakan Israel bertanggungjawab terhadap nasib tawanan di Gaza.
āMusuh yang sengaja meletakkan nyawa kumpulan tawanan itu dalam bahaya. Ia kini bergantung kepada tindakan Netanyahu,ā menurut sayap tenteranya, Briged al-Quds dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Hamas mengesahkan delegasi diketuai perunding utama dan ketua gerakan itu di Gaza, Khalil al-Hayaa telah tiba di Kaherah untuk menyertai rundingan baharu serta mengawasi pelaksanaan gencatan senjata pada 19 Januari lalu.
Sumber rapat proses damai itu memberitahu, perantara dari Qatar dan Mesir cuba menyelesaikan pertikaian serta isu yang dibangkitkan untuk memastikan tempoh bertenang berkenaan terus dipatuhi. – Agensi