DALAM setiap konflik, pasti akan muncul pandangan konon terpaling neutral, pencinta kedamaian dan menganggap kedua-dua belah pihak salah. HAMAS-Israel dianggap kucing dan anjing yang bergaduh tak habis-habis.
Tanpa melihat sejarah, culas mencermati fakta di lapangan, malas menelaah nas. Tapi nak jadi hero penyelamat bumi yang bertelagah. Tak suka gaduh-gaduh. Tak suka konflik.
Mereka tak sedar dah jadi sebahagian dari agenda setting Barat. Doktrin yang diusahakan oleh propaganda US terutama Hollywood.
Melalui media, filem, hiburan dan segala platform, mereka bentuk pemikiran kita untuk jadi bodoh dan melupakan punca dan matlamat pertempuran. Mereka mahu supaya orang awam benarkan penjajahan, restukan kezaliman atas nama kedamaian.
Bro, the world doesn’t work that way. Kedamaian tak akan dicapai dengan beralah.
Walaupun Islam agama salam (kedamaian), sunnatullah atau hukum alam yang tuhan tetapkan menunjukkan kedamaian perlu dicapai dengan jalan yang keras. Kelembutan akan membawa si zalim makin zalim.
Firman Allah S.W.T:
وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ
“Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya.”
[Al-Hajj: 40]
Islam mendahulukan perdamaian. Tapi kalau ada pihak melampau, perangi pelampau itu. Boleh belajar bagaimana cara urus konflik sesama orang beriman:
وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱقۡتَتَلُواْ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَاۖ فَإِنۢ بَغَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا عَلَى ٱلۡأُخۡرَىٰ فَقَٰتِلُواْ ٱلَّتِي تَبۡغِي حَتَّىٰ تَفِيٓءَ إِلَىٰٓ أَمۡرِ ٱللَّهِۚ فَإِن فَآءَتۡ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَا بِٱلۡعَدۡلِ وَأَقۡسِطُوٓاْۖ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ
“Jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
[al-Hujurat: 9]
Orang yang faham sejarah hubungan Antarabangsa zaman berzaman pasti akan bersetuju dengan pujangga Rom yang berkata:
“Sī vīs pācem, parā bellum”
(If you want peace, prepare for the war)
Ironinya, pemikiran masyarakat moden banyak dibentuk oleh Hollywood. Kalau US lancar perang di Iraq, Afghanistan, Jepun dan lain-lain, orang sokong sebab dalam filem menampakkan US hero nak hukum orang jahat. Kalam pujangga Rom itu akan menjadi dalil.
Tapi bila part orang lain, dia buat filem supaya pihak bertelagah dua-dua jahat. Anehnya di alam realiti, mereka support ketenteraan dan politik salah satu pihak itu.
Kalam pujangga disembunyikan. Mereka bijak memanfaatkan falasi dalam media framing. Masyarakat awam pula terlalu lemah bab media literacy terutama soal agenda setting.
Maka kita yang koya terpaling neutral pun mudah termakan propaganda sebegini. Naif.
Jangan malukan bangsa Melayu yang sebenarnya lebih bijak bermadah:
“Terlalu bertolak ansur, akan ditolak beransur-ansur.”
Salam mini love,
ALANG IBN SHUKRIMUN
23 Rabiul Awwal 1445
9 Oktober 2023 – HARAKAHDAILY 9/10/2023