Hamas serah satu lagi mayat tebusan kepada Israel

Hamas serah satu lagi mayat tebusan kepada Israel

Baitulmaqdis: Hamas menyerahkan satu lagi mayat tebusan kepada Israel pada malam Jumaat, selepas menegaskan komitmennya untuk memulangkan semua tawanan yang meninggal dunia dan masih belum ditemukan di bawah runtuhan Gaza susulan perang yang berlarutan selama dua tahun.

Pejabat perdana menteri Israel dalam satu kenyataan memaklumkan, “Israel menerima melalui Palang Merah keranda berisi mayat seorang tebusan” yang diserahkan kepada pasukan keselamatannya di Gaza dan akan dikenal pasti di pusat analisis perubatan di Israel.

Di bawah perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang diterajui Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, kumpulan Palestin itu sudah memulangkan kesemua 20 tebusan yang masih hidup dan mayat sembilan daripada 28 tebusan disahkan maut, tidak termasuk mayat yang diserahkan pada malam Jumaat.

Sebagai balasan, Israel membebaskan hampir 2,000 tahanan Palestin dari penjaranya dan menghentikan kempen ketenteraan yang dilancarkan di Gaza selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Khamis lalu menegaskan semula keazamannya untuk “memastikan kepulangan semua tebusan” dan menteri pertahanannya memberi amaran bahawa tentera akan memulakan semula perang jika Hamas gagal berbuat demikian.

Pegawai kanan Hamas, Ghazi Hamad pada Jumaat menyifatkan ugutan itu sebagai “taktik tekanan yang tidak boleh diterima.”

Katanya: “Isu berkaitan mayat ini rumit dan memerlukan masa. Kami akan memulangkan semua mayat berkenaan dan mematuhi perjanjian seperti yang dijanjikan.”

Turkiye menghantar sepasukan pakar untuk membantu mengeluarkan mayat yang tertimbus di bawah runtuhan tetapi kumpulan itu masih menunggu kebenaran Israel untuk memasuki wilayah itu setakat Jumaat.

Sumber Hamas memberitahu AFP, delegasi Turkiye dijangka masuk menjelang Ahad.

Agensi pertahanan awam Gaza, pasukan penyelamat yang beroperasi di bawah pihak berkuasa Hamas berkata, lebih 280 mayat sudah dikeluarkan dari runtuhan sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Perang itu membunuh sekurang-kurangnya 67,967 orang di Gaza, menurut kementerian kesihatan di wilayah yang dikendalikan Hamas, angka yang dianggap PBB sebagai boleh dipercayai.

Data itu tidak membezakan antara orang awam dan pejuang tetapi menunjukkan lebih separuh daripada yang maut adalah wanita dan kanak-kanak.

Serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel mengakibatkan kematian 1,221 orang dengan kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top