Hamas sudah beri maklum balas gencatan senjata 60 hari di Gaza

Hamas sudah beri maklum balas gencatan senjata 60 hari di Gaza

Ia selepas lebih dua minggu rundingan tidak langsung di Qatar gagal mencapai kata sepakat.

“Hamas baru sahaja menyerahkan maklum balas daripada pihaknya dan puak Palestin terhadap cadangan gencatan senjata kepada pengantara,” kata kumpulan pejuang Palestin itu dalam satu kenyataan di Telegram.

Menurut sumber Palestin yang terbabit dalam rundingan di Doha, maklum balas itu termasuk cadangan pindaan terhadap beberapa klausa, antaranya berkaitan kemasukan bantuan kemanusiaan, peta kawasan yang perlu ditinggalkan oleh tentera Israel, serta jaminan untuk menamatkan perang secara kekal.

Wakil kedua-dua pihak sudah mengadakan rundingan tidak langsung di Doha bersama pengantara, dalam usaha mencapai persetujuan mengenai perjanjian gencatan senjata yang turut membabitkan pembebasan tebusan Israel.

Daripada 251 tebusan yang ditahan ketika serangan Hamas pada 2023, 49 masih ditahan di Gaza, termasuk 27 orang yang menurut tentera Israel sudah meninggal dunia.

Namun, rundingan yang berlangsung lebih dua minggu itu masih menemui jalan buntu, dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan kerana enggan berkompromi terhadap tuntutan utama masing-masing.

Bagi Israel, pembubaran keupayaan ketenteraan dan pemerintahan Hamas adalah syarat yang tidak boleh dirunding.

Hamas pula menuntut jaminan yang kukuh bagi gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya tentera Israel, serta kelancaran kemasukan bantuan ke Gaza.

Jurucakap kerajaan Israel, David Mencer, pada Rabu menuduh Hamas menghalang rundingan.

“Israel bersetuju dengan cadangan Qatar dan cadangan terkini oleh (utusan khas AS) Steve Witkoff, tetapi Hamas yang menolak,” kata Mencer kepada wartawan, sambil menambah pasukan perunding Israel masih berada di Doha dan rundingan sedang berlangsung.

Amerika Syarikat menyatakan Witkoff akan ke Eropah minggu ini untuk berbincang mengenai kemungkinan gencatan senjata dan pembukaan koridor bantuan kemanusiaan.

Lebih 100 pertubuhan bantuan memberi amaran pada Rabu bahawa ‘kebuluran besar-besaran’ kini sedang merebak di Gaza.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top