Hamidin bakal kembali terajui FAM?

Hamidin bakal kembali terajui FAM?

PETALING JAYA: Khabar angin Tan Sri Hamidin Mohd Amin bakal kembali menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini bertiup kencang.

Hamidin yang dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM pada 30 Jun lalu dikaitkan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub.

Ketika ini jawatan berkenaan dipangku oleh Datuk Mohd Yusoff Mahadi bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mohd. Joehari.

Ketika ditanya mengenai khabar angin yang mengaitkan Hamidin bakal merebut jawatan Presiden FAM, Mohd Yusoff menjelaskan beliau tidak mengetahui mengenai spekulasi itu.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan perkara itu boleh berlaku kerana siapa sahaja berpeluang bertanding untuk merebut jawatan presiden dengan pemilihan akan diadakan pada tahun ini.

“Kalau ada khabar angin macam itu, tanyalah Tan Sri Hamidin. Dia individu yang tepat boleh jawab untuk diri dia, saya tak boleh jawab untuk diri dia. Kalau pada saya, apa-apa kemungkinan pun boleh berlaku.

“Siapa pun boleh jadi presiden, termasuklah Tan Sri Hamidin sendiri. Maknanya apa-apa boleh berlaku selepas ini, jadi kita tunggu kongres akan datang.

“Kita boleh adakan kongres bila-bila masa tahun ini, tetapi biasanya kita takkan buat selepas Jun. Biasanya enam bulan pertama akan ada kongres. Kalau berlaku (barisan EXCO) letak jawatan, kongres yang diadakan nanti akan jadi kongres pemilihan.

“Kalau ikut sekarang, cuma pemilihan presiden. Sebab (jawatan) yang lain masih kekal jawatan, kecuali Exco dibubarkan, maknanya semua akan ada pemilihan semula,” katanya.

Selain kekosongan kerusi presiden, FAM kini ‘bergoncang’ selepas difahamkan semua Exco badan induk itu bakal melepaskan jawatan bagi mengelak penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Hamidin pernah berada di kerusi Presiden FAM dari 2018–2025 selain pernah memegang jawatan lain dalam badan induk berkenaan sebelum itu termasuk Ahli Jawatankuasa, Naib Presiden dan Setiausaha Agung.- UTUSAN

Scroll to Top