KUALA LUMPUR: Sehari selepas pelantikannya diumumkan, ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2021 di Vietnam, Datuk Hamidin Mohd Amin sudah pun memulakan tugasnya.
Semalam, Hamidin menghadiri mesyuarat dan taklimat bersama Ketua Pegawai Operasi Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Michelle Chai dan dua pengurus besar MOM, Norhashimi Hussain dan Fong Wan Hor mengenai persiapan kontinjen negara ke temasya dwitahunan itu.
Berkongsi mengenai hasil taklimat berkenaan, Hamidin memaklumkan setiap sukan yang bakal disertai Malaysia ke di Vietnam 2021 sedang dalam proses penilaian akhir akan tahap kemampuan masing-masing menyumbang pingat emas.
Katanya, buat masa ini sebanyak 40 sukan dengan 526 acara bakal dipertandingkan di Vietnam.
“Kita dalam fasa akhir menilai acara yang berpotensi meraih pingat terutama emas, sekali gus menetapkan sasaran pingat.
“Ini berikutan, setiap sukan atau acara tahun ini berdepan cabaran berbeza khususnya dari aspek sesi latihan dan pendedahan dengan pertandingan kompetitif susulan pandemik COVID-19.
“Sebab itu, sekali lagi saya tekankan penting buat saya untuk berjumpa dengan setiap presiden persatuan untuk mendapat perkembangan terkini atlet dan persiapan masing-masing dalam masa terdekat,” kata Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dalam perkembangan lain, Hamidin turut memaklumkan pelantikan timbalan ketua kontinjen negara akan dimuktamadkan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu ini.
Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA akan mengadakan persidangan pada 18 dan 19 Mac ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




