Bahrain: Pemandu Ferrari, Lewis Hamilton mengakui dia pernah “terlupa siapa dirinya”, namun kini kembali bersemangat menjelang musim baharu Formula Satu (F1).
Dalam mesej penuh semangat di Instagram, juara dunia tujuh kali itu menegaskan motivasinya kembali membara selepas musim pertama yang mengecewakan bersama pasukan Itali itu.
“Saya sangat cintakan kerjaya ini dan saya suka bekerja bersama pasukan serta berlumba untuk peminat,” kata pelumba Britain berusia 41 tahun itu yang menyertai Ferrari dari Mercedes tahun lalu dengan gembar-gembur besar.
“Saya amat bertuah dapat melakukan apa yang saya lakukan dan saya teruja untuk musim akan datang.
“Saya reset dan segar semula. Saya tidak ke mana-mana, jadi teruskan bersama saya. Untuk seketika, saya terlupa siapa diri saya, tetapi terima kasih atas sokongan anda, anda tidak akan melihat mentaliti itu lagi. Saya tahu apa yang perlu dilakukan. Ini akan jadi musim yang cukup luar biasa.”
Hamilton, pelumba paling berjaya dalam sejarah F1, melalui musim paling suram dalam kariernya tahun lalu apabila gagal menaiki podium dalam 24 perlumbaan dan nada percakapannya semakin muram.
Ferrari juga gagal meraih kemenangan pada musim 2025, namun pasukan itu tampak meyakinkan dalam sesi ujian di Bahrain bulan ini apabila rakan sepasukan Hamilton, Charles Leclerc mencatat masa terpantas dalam sesi terakhir minggu ini sebelum jentera diterbangkan ke Australia bagi perlumbaan pembuka tirai pada 8 Mac.
Sementara itu, ketua pasukan juara dunia McLaren, Andrea Stella berkata beliau melihat Mercedes dan Ferrari sebagai pasukan yang perlu ditewaskan musim ini.
“McLaren dan Red Bull Racing mungkin hampir setara, tetapi Ferrari dan Mercedes selangkah di hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




