Las Vegas: Lewis Hamilton dari pasukan Ferrari berdepan satu lagi detik suram dalam apa yang disifatkannya sebagai musim paling sukar di Formula Satu (F1), selepas menamatkan sesi kelayakan di tempat terakhir pada Grand Prix Las Vegas, hari ini.
Juara dunia tujuh kali itu menganggap sesi kelayakan dalam keadaan litar basah itu sebagai ‘teruk’ dan menerima hakikat bahawa dia akan memulakan perlumbaan utama dari petak paling belakang.
Hamilton, yang tampil kompetitif dalam latihan terakhir berkata, keretanya berfungsi dengan baik pada awal hari dan percaya dia memiliki kelajuan untuk mencatat keputusan baik sebelum cuaca berubah.
“Kereta terasa sangat baik dalam FP3 dan sejujurnya, saya sangat, sangat teruja,” katanya yang kelihatan kecewa.
“Saya fikir akhirnya kami dapat hari yang baik, tetapi nampaknya itu tidak berlaku,” katanya lagi.
Hujan lebat dan percikan air di bawah lampu di sepanjang Las Vegas Strip menjejaskan penglihatan dengan teruk ketika kelayakan berlangsung.
“Seteruk yang boleh dibayangkan. Saya langsung tak nampak apa-apa,” kata Hamilton.
Hamilton menjadi pemandu Ferrari pertama memulakan perlumbaan dari kedudukan terakhir sejak Giancarlo Fisichella di Abu Dhabi pada 2009.
Ia juga kali pertama dalam karier pemandu berusia 40 tahun itu dia berada di tempat terakhir berdasarkan kelajuan dalam sesi kelayakan.
Pendahulu kejuaraan, Lando Norris meraih petak utama buat McLaren, diikuti Max Verstappen dari Red Bull di tempat kedua dan Carlos Sainz (Williams) ketiga.
Ketika ditanya mengenai perasaan selepas menamatkan sesi di tempat ke-20, Hamilton terdiam seketika sebelum mengakui dia masih merasai kekecewaan itu.
“Saya tak ada jawapan untuk itu. Jelas sekali ia rasa teruk, memang tak baik langsung. Tapi apa yang boleh saya buat hanyalah lepaskan dan cuba bangkit esok.
“Tahun ini memang tahun paling sukar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




