Melbourne: Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton percaya Ferrari masih mampu memberi saingan dalam perebutan kejuaraan Formula Satu (F1) musim ini walaupun tewas kepada dominasi Mercedes pada aksi pembuka tirai Grand Prix (GP) Australia.
Perlumbaan di Litar Albert Park itu menyaksikan George Russell mengetuai kedudukan satu-dua Mercedes di hadapan rakan sepasukan, Kimi Antonelli.
Russell menamatkan perlumbaan lebih 15 saat di hadapan dua pelumba Ferrari, Charles Leclerc yang berada di tempat ketiga diikuti Hamilton di kedudukan keempat.
“Saya benar-benar bangga dengan pasukan. Kami melakukan kerja hebat untuk membawa jentera ke tahap ini.
“Memang kami tidak sepantas Mercedes, masih ada kerja perlu dilakukan, tetapi kami masih berada dalam perebutan,” kata Hamilton.
Hamilton yang memulakan perlumbaan di petak ketujuh berkata prestasi sebenar Ferrari sebenarnya lebih baik berbanding apa yang ditunjukkan ketika sesi kelayakan.
“Sepanjang hujung minggu saya rasa sangat kuat, tetapi kelayakan tidak menunjukkan kelajuan sebenar kami kerana ada beberapa masalah,” katanya.
Menurutnya, Ferrari tampil kompetitif sepanjang perlumbaan dan dia hampir memintas Leclerc menjelang penghujung perlumbaan.
“Saya semakin merapatkan jurang dengan Charles di penghujung perlumbaan. Jika ada satu atau dua pusingan lagi, mungkin saya boleh memintasnya,” katanya.
Walaupun mengakui Mercedes memiliki kelebihan besar pada awal musim, Hamilton yakin Ferrari mampu merapatkan jurang itu.
“Kami ada banyak kerja perlu dilakukan untuk mengejar Mercedes, tetapi ia bukan mustahil.
“Kereta kami sebenarnya laju di selekoh, jadi kami hanya perlu terus bekerja keras,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




