'Hampir 15 saat saya bergelut dengan buaya, mujur rakan pantas tarik'

'Hampir 15 saat saya bergelut dengan buaya, mujur rakan pantas tarik'

am@hmetro.com.my

Teluk Intan: “Hampir 15 saat saya bergelut dengan buaya dan fikir hendak mati sahaja waktu itu,” demikian kata Muhammad Zarith Hafizi, iaitu mangsa yang cedera parah susulan disambar gigitan buaya dalam insiden di Kampung Sungai Buaya, di sini Sabtu lalu.

Muhammad Zarith yang difahamkan bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan ini, mengalami kecederaan parah pada lutut serta paha kiri dan kini masih dirawat di Hospital Teluk Intan namun keadaannya stabil.

Menceritakan kejadian, Muhammad Zarith berkata dia bersama kawan baiknya, Mohd Hafiz Roslan, 29, menjala ikan yang ‘timbul’ di kawasan daratan susulan limpahan bah berdekatan Sungai Perak di kawasan kebun kelapa sawit kampung itu.

Menurutnya, tindakan pantas Mohd Hafiz dengan menarik tubuhnya daripada gigitan buaya, berjaya menyelamatkan nyawanya biarpun mengalami kecederaan luka teruk.

“Kami menjala berdua sahaja di situ. Bila buaya sambar kaki terus Mohd Hafiz menarik dan berjaya melepaskan tubuh saya daripada gigitan buaya. Saiz buaya itu lebih besar dari tubuh saya.

“Ini kali pertama saya berhadapan situasi begini walaupun penduduk kampung maklum terdapat buaya di Sungai Perak berdekatan kampung kami. Namun tidak pernah pula buaya kacau manusia di kawasan kampung kami sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Zarith yang juga seorang juruukur di Johor Bharu berkata, menjadi kebiasaan untuk ikan di sungai mengikuti limpahan air sungai ke daratan sewaktu keadaan banjir hingga menarik minat orang kampung menjala di daratan yang dilimpahi air.

Dia kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital.

Semalam, akhbar ini melaporkan seorang lelaki cedera parah di bahagian lutut akibat dibaham buaya dalam kejadian di kawasan kebun di Kampung Sungai Buaya, di sini Sabtu lalu hingga memerlukan mangsa dirawat di Hospital Teluk Intan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top