Hampir 2 bulan terpisah, Yusuf sambut kepulangan Zizi Kirana dengan kejutan

Hampir 2 bulan terpisah, Yusuf sambut kepulangan Zizi Kirana dengan kejutan

georgie@hmetro.com.my

Sepang: Selepas hampir dua bulan terpisah, pertemuan pelakon Yusuf Bahrin, 33, bersama isterinya penyanyi Zizi Kirana, 40, yang pulang dari misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), sangat menyentuh emosi.

Yusuf dilihat terus memeluk Zizi, meleraikan kerinduan sambil menzahirkan kesyukuran kerana sukarelawan Malaysia tiba selamat selepas menempuh pelbagai dugaan sepanjang misi kemanusiaan berkenaan.

Dia turut memaklumkan sudah menyediakan kejutan istimewa buat Zizi sebaik mereka tiba di rumah nanti.

“Alhamdulillah saya dah jumpa Zizi tadi. Saya kata jumpa kat rumah nanti ada kejutan.

“Lepas ini terus balik rumah, insya-Allah… Apapun saya ucapkan terima kasih banyak buat mereka yang hadir beri sokongan pada malam ini,” katanya.

Terdahulu, Yusuf hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini dengan penuh keceriaan menyambut kepulangan yang dinanti-nanti itu.

Zizi adalah seorang daripada 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi GSF, iaitu usaha antarabangsa membawa mesej kemanusiaan dan solidariti buat rakyat Palestin.

Kesemua peserta dari Malaysia dibebaskan pada Sabtu lalu selepas ditahan rejim Zionis di perairan antarabangsa.

Mereka kemudiannya diterbangkan dari Lapangan Terbang Ramon di Israel ke Istanbul, Turkiye, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

Ketibaan mereka disambut penuh emosi apabila lebih 2,000 penyokong memenuhi ruang ketibaan KLIA sambil melaungkan takbir dan sorakan ‘Free Palestine’.

Tidak ketinggalan, pelakon Nadzmi Adhwa juga hadir bersama dua anaknya yang menanti kepulangan isteri tercinta, Ardell Aryana, selain Heliza Helmi dan Hazwani Helmi yang turut pulang dalam rombongan sama.

Misi yang disertai lebih 200 aktivis dari pelbagai negara itu menjadi lambang keberanian dan keteguhan semangat rakyat Malaysia dalam memperjuangkan hak kemanusiaan Palestin di mata dunia.

Berita berkaitan:

Misi GSF tak masuk Israel secara haram, tapi bawa bantuan kemanusiaan ke Gaza – Mohamad

Misi GSF: Ardell hampir pengsan, kelihatan lemah dan pucat

GSF: T-shirt putih jadi tudung, simbol penindasan wanita Islam oleh Israel – Farah Lee

Misi GSF: Kita berjaya ‘break the silence’ – Nadir Al-Nuri

Kejayaan bawa pulang sukarelawan GSF hasil diplomasi tertinggi

GSF: 23 sukarelawan selamat tiba, Malaysia rakam penghargaan kepada Turkiye, rakan antarabangsa

Sukarelawan GSF sujud syukur di KLIA, disambut tangisan dan laungan ‘Bebas Palestin’

23 wira wirawati GSF selamat tiba

Misi GSF: Tahap keselamatan di KLIA terkawal

Keluarga, orang ramai berkumpul di KLIA sambut kepulangan aktivis GSF

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top