Hampir 40,000 individu terima manfaat Hijrah Prihatin Kisah Mereka

Hampir 40,000 individu terima manfaat Hijrah Prihatin Kisah Mereka

sudirman@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Hampir 40,000 individu daripada pelbagai golongan menerima manfaat sepanjang lapan tahun penganjuran program Hijrah Prihatin Kisah Mereka.

Ketua Kumpulan Integrasi Media & Hal Ehwal Korporat TV Alhijrah Saifulizan Sidek berkata, inisiatif program Hijrah Prihatin Kisah Mereka itu cuba lari daripada kebiasaan sambutannya.

“Kami sudah mengadakan pelbagai program sambutan, jadi kali ini kita cuba lari daripada kebiasaan. Kita perlu berkongsi program yang selalu dibuat tapi tak nampak di televisyen yang mana ia sangat signifikan dengan TV Alhijrah.

“Program kebajikan ini sebagai cara kami untuk menyantuni penonton yang kurang bernasib baik.” katanya.

Menurut Saifulizan lagi, program ini turut menjelajah ke beberapa lokasi yang kurang mendapat tumpuan seperti pulau dan penempatan Orang Asli.

Antara pulau itu seperti Pulau Redang, Pulau Aur, Pulau Pangkor, Pulau Tuba dan empat pulau di Semporna.

“Hampir 10 pulau kita sudah pergi. Seperti kita tahu, kehidupan di pulau tiga kali ganda lebih tinggi dari tanah besar. Jadi, kita bantu mereka yang mana turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Insya-Allah, bulan depan kita santuni Orang Asli di Gerik, Perak pula.

“Kalau boleh memang nak bagi semua orang merasa. Sebab itu kita cuba sedaya upaya bantu. Ada kes berkala dan ada kita pantau. Bukan nak menunjuk, tapi kita nak memberi galakan kepada rakan-rakan korporat lain untuk sama-sama menyumbang,” katanya.

Dalam pada itu, sempena sambutan ulang tahun TV Alhijrah ke-14 semalam, Kelab Met Harian Metro menerima sumbangan berupa 30 bakul makanan bernilai RM200.

Sumbangan merangkumi barangan asas dan keperluan harian itu bakal diagihkan kepada beberapa kategori kakitangan yang layak.

Berapa pertubuhan yang turut menerima sumbangan adalah Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia, PPR Desa Tun Razak, Cheras (Mualaf), Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Al Mahabbah dan Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top