am@hmetro.com.my
Semporna: Pangkalan Laut (PL) Tun Sharifah Rodziah ditutup secara rasmi selepas hampir sedekad menjadi benteng hadapan menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan di pantai timur Sabah.
Majlis penuh istiadat pembubaran pangkalan itu disempurnakan oleh Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris, di sini, semalam.
Pangkalan itu pada asalnya adalah sebuah unit pelantar pengeluaran mudah alih pesisir yang dikenali sebagai Hercules 259 dan dibina di Houstan, Amerika Syarikat pada 1973.
Menerusi usaha sama strategik antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), PETRONAS dan Sapura Kencana, pelantar itu ditransformasi menjadi pangkalan laut hadapan berteraskan keperluan strategik negara bagi memastikan kehadiran berterusan TLDM di kawasan berkepentingan tinggi di perairan timur Sabah.
Khir Junaidi berkata, fungsi dan peranan PL Tun Sharifah Rodziah sebagai pangkalan hadapan akan diambil oleh Kapal Auksiliari Tun Azizan (KA TAZ) bagi memastikan kesinambungan kehadiran dan kesiagaan operasi TLDM di kawasan strategik timur Sabah.
Sepanjang perkhidmatan PL TSR, katanya, pangkalan itu digunakan sebagai sebuah platform strategik yang menyokong pelaksanaan operasi keselamatan maritim dan pemantauan zon berkepentingan maritim.
“Ia sekali gus memperkukuh kehadiran pasukan keselamatan di Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE).
“Lokasinya yang strategik membolehkan tindak balas yang pantas terhadap sebarang ancaman keselamatan, sekali gus menjadi simbol komitmen berterusan TLDM dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
PL Tun Sharifah Rodziah mula boperasi 31 Julai 2015 dan dirasmikan pada Mei 2016 oleh Datuk Seri Najib Razak yang menjadi Perdana Menteri ketika itu.
Pangkalan itu dinamakan sempena nama isteri Perdana Menteri Malayia Pertama, Allahyarhamah Tun Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah.
Khir Junaidi berkata, TLDM akan terus memperkukuh keupayaan operasi selaras dengan keperluan semasa serta perkembangan landskap keselamatan maritim demi menjamin kedaulatan dan keselamatan perairan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




