Hamzah, 16 pemimpin BERSATU dipecat mungkin tak sertai PAS

Hamzah, 16 pemimpin BERSATU dipecat mungkin tak sertai PAS

news@nst.com.my

Kota Bharu: Bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, bersama beberapa Ahli Parlimen parti itu yang baru-baru ini dipecat, dilaporkan tidak akan menyertai PAS.

Sumber memberitahu kumpulan itu berkemungkinan besar akan menubuhkan parti politik baharu dan terus bekerjasama dengan PAS di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Kemungkinan mereka menyertai PAS adalah sangat tipis. Rancangannya adalah untuk menubuhkan parti baharu dan terus selaras dengan PAS dalam PN,” menurut sumber itu.

Menurut sumber, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini dianggap tidak lagi relevan oleh kumpulan berkenaan.

“Jika beliau boleh mengambil tindakan sebegini terhadap Hamzah, yang telah memberi sumbangan besar kepada kejayaan BERSATU, tiada jaminan beliau tidak akan melakukan perkara sama kepada pemimpin lain,” tambah sumber itu.

Sumber itu turut berkata, kumpulan berkenaan percaya platform politik baharu diperlukan untuk melindungi pemimpin yang ingin terus berkhidmat di bawah PN tanpa takut dikenakan tindakan disiplin.

Pada Jumaat lalu, seramai 17 pemimpin BERSATU dipecat termasuk Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut.

Selain Hamzah, Lembaga Disiplin parti itu turut memecat ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, serta Datuk Zainol Fadzi Paharudin, yang juga merupakan ahli majlis parti dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik.

Lain-lain yang terbabit termasuk Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan; Ahli Majlis dan ADUN Bemban, Mohd Yadzil Yaakub serta Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

Tindakan disiplin parti itu juga membabitkan pemimpin di peringkat bahagian, termasuk Setiausaha BERSATU Sabah dan Ketua Bahagian Libaran, Yunus Nurdin; Datuk Abdul Aziz (Dungun); Mohd Hassundi Hamzah (Larut); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Ahmad Ishak (Gopeng); Kamaruddin Majid (Teluk Intan) dan Mohd Yunus Mohd Yusof (Tapah).

Pemecatan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan dalaman yang semakin meningkat dalam BERSATU, susulan laporan bahawa Lembaga Disiplin sudah mengambil tindakan terhadap Hamzah atas dakwaan melanggar peraturan parti di bawah Klausa 9.1.4 perlembagaan parti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top