Hamzah mahu perkasa legasi sebar dakwah di sekolah tinggalan moyang

Hamzah mahu perkasa legasi sebar dakwah di sekolah tinggalan moyang

am@hmetro.com.my

Butterworth: Pengasas Sekolah Agama Madrasah Al-Ahmadiah Al-Ijtimaiah, Hamzah Jaafar dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri Pulau Pinang, tahun ini.

Hamzah, 65 menerima trofi, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM7,000 yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib.

Bapa kepada enam anak itu berkata, dia menghargai anugerah berkenaan sebagai pendorong semangat dalam usaha menyebarkan dakwah dan syiar Islam melalui sekolah yang diasaskan moyangnya sejak 1896.

Katanya, pondok pengajian agama di Padang Lalang, Bukit Mertajam itu kemudian diambil alih datuk serta bapanya, dan legasi itu diteruskan olehnya sebagai generasi keempat hingga kini bertukar wajah menjadi Sekolah Agama Rakyat (SAR) bermula tahun 2000.

“Apabila mendapat anugerah ini (Tokoh Maulidur Rasul), saya begitu berbesar hati dan gembira kerana ada pihak meraikan sekolah-sekolah agama, apatah lagi penghargaan diberikan kepada sekolah yang diasaskan oleh moyang saya.

“Sebagai penerus legasi, saya berharap dapat lagi menabur bakti di sekolah ini untuk menyebarkan dakwah dan syiar Islam supaya generasi akan datang dapat terus diterapkan dengan ajaran agama yang betul.

“Ini sekali gus membentuk jati diri mereka menjadi manusia yang lebih bersedia dalam menghadapi suasana dunia semakin mencabar,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Seberang Jaya, di sini, hari ini

Dalam majlis itu, selain Hamzah, Anugerah Qudwatur Rasul diberikan kepada kontraktor, Rohaime Ali manakala pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nasuha Lee Abdullah menerima Anugerah Qudwatur Rasul Saudara Kita.

Bagi Anugerah Qudwatur Rasul Khas pula disampaikan kepada Mahamad Aziz Abdullah yang juga seorang bekas pendidik.

Sementara itu, Yang di-Pertua Negeri Tun Ramli ketika berucap berpesan supaya umat Islam di Pulau Pinang meneladani akhlak serta ajaran Nabi Muhammad dalam menempuh cabaran semasa yang semakin kompleks.

“Baginda adalah qudwah (teladan) yang menjadi contoh seorang individu amanah, pemimpin adil, suami dan ayah penyayang serta jiran yang menyantuni serta sahabat yang sentiasa membela.

“Keperibadian baginda ini menjadi asas kepada pembinaan ummah Madani yang kita cita-citakan,” katanya.

Lebih 1,000 umat Islam terdiri daripada pelbagai agensi negeri hadir menyertai perarakan Maulidur Rasul. Hadir sama Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top