Kuala Lumpur: Beberapa jam selepas notis pemecatan dikeluarkan, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin memuat naik status terkini memaparkan foto pertemuannya bersama beberapa pemimpin PAS di Rusila, Terengganu.
Foto itu dimuat naik Hamzah menerusi Facebook beliau, malam ini.
“Alhamdulillah. Minum petang di Rusila. Allah SWT adalah sebaik-baik perancang,” tulis beliau ringkas.
Dalam gambar yang dikongsikan Hamzah, turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Selain itu, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan dua ahli parti itu yang dipecat keahlian iaitu Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.
Hari ini, BERSATU menyaksikan ramai pemimpin parti itu dipecat dengan setakat malam ini dilaporkan sekurang-kurangnya 17 pemimpin sudah ditamatkan keahlian oleh Lembaga Disiplin parti.
Pemecatan itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu notis makluman bertarikh hari ini.
Daripada senarai penuh dikongsikan Lembaga Disiplin parti itu, selain Hamzah, tiga Ahli Parlimen lain serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut dipecat.
Tiga Ahli Parlimen BERSATU lain yang dipecat adalah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
Dua ADUN yang turut dipecat ialah ADUN Sungai Manik yang juga Ahli MPT BERSATU, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.
Hamzah semalam dilaporkan tidak hadir selepas dipanggil hadir ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu dijadual berlangsung di Ibu Pejabat BERSATU di Petaling Jaya.
Setiausaha Sulitnya, Ahmad Ikhwan Fadhli, memaklumkan Ahli Parlimen Larut itu berada di Sydney, Australia, bagi menemani dan membantu urusan pendaftaran universiti anak perempuannya sebelum menerima notis pada 7 Februari lalu untuk hadir ke prosiding Lembaga Disiplin BERSATU.
Lembaga Disiplin BERSATU dalam notis panggilan sebelum ini memaklumkan Hamzah dipanggil terkait isu kritikan dan serangan terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta rundingan membabitkan presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, pelbagai desakan daripada pemimpin parti itu mahu supaya keahlian Hamzah dipecat selepas didakwa menjadi dalang kepada gerakan menggesa pengunduran Muhyiddin.
Hamzah yang juga ketua pembangkang Parlimen turut didakwa terbabit dalam gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih dan menukar kepimpinan BERSATU ketika ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




