Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Datuk Hanafiah Mat yang kini berdepan dua pertuduhan berkaitan dakwaan salah guna kedudukan, memaklumkan beliau tidak akan mengambil cuti dan akan terus melaksanakan tanggungjawab seperti biasa.
Menurut laporan Utusan Malaysia, beliau akan meneruskan tugas termasuk peranannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Terengganu yang memegang portfolio Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar.
Foto: Bernama
Hanafiah menjelaskan, keputusan untuk kekal bertugas itu dibuat susulan arahan yang diterima daripada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Menteri Besar telah mengarahkan saya supaya meneruskan tugas seperti biasa.
“Insya-Allah saya akan jalankan tanggungjawab yang diamanahkan dan memastikan segala urusan serta perancangan kerajaan negeri tidak terganggu,” katanya di pekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.
Foto: Bernama
Sementara itu, Hanafiah berkata, beliau tetap komited meneruskan khidmat kepada masyarakat setempat termasuk menganjurkan majlis berbuka puasa sebagaimana yang dilaksanakan setiap kali Ramadan.
“Seperti sebelum ini, saya akan menjemput rakan-rakan media dan komuniti untuk berbuka puasa bersama,” ujarnya.
Terdahulu, beliau mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan berkaitan dakwaan menyalahgunakan kedudukan bagi memberi kepentingan kepada dua anak kandungnya.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara tahun 2018 hingga 2020, dengan mengarahkan dua anaknya itu dilantik bekerja di dua anak syarikat milik kerajaan negeri.
Sumber: Utusan Malaysia (Erma Yusnida Jusoh)




