Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya bagi kepentingan dua anak kandungnya.
Hanafiah Mat mengaku tak bersalah
Memetik laporan daripada Sinae Harian, tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Hanafiah Mat didakwa guna kedudukan
Pertuduhan pertama mendakwa Hanafiah menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd untuk mendapatkan suapan bagi anak kandungnya, Mohd Najmi Hanafiah, pada 15 Ogos 2018 di Pejabat EPIC Berhad, Tingkat 2, Bangunan Annexxe, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong. Pertuduhan kedua pula melibatkan seorang lagi anaknya, Ahmad Kamil Hanafiah, pada 18 Jun 2020 di lokasi yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, dengan penjara maksimum 20 tahun serta denda minima lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel lain: EXCO Terengganu ditahan SPRM terus bertugas seperti biasa – Ahmad Samsuri
Susulan daripada itu, mahkamah membenarkan Hanafiah diikat jamin RM30,000 dan mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM Terengganu setiap bulan selewat-lewatnya pada hari ke-5 sehingga kes selesai.
Mahkamah tidak mengarahkan penyerahan pasport, tetapi pihak pendakwaan boleh memohon sekiranya tertuduh gagal hadir ke mahkamah pada mana-mana tarikh perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Addawiyah Mohd Noorlee manakala Hanafiah diwakili peguam Mohd Fadly Hashim.
Mahkamah menetapkan 12 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sumber: Sinar Harian (Norhaspida Yatim)




