'Hang anak sapa' meriahkan himpunan keluarga Osman dan Embun

'Hang anak sapa' meriahkan himpunan keluarga Osman dan Embun

yusmizal@hmetro.com.my

Padang Serai: Lebih 300 ahli keluarga Osman dan Embun berhimpun sempena Hari Keluarga yang diadakan di Kuala Benut, Sungai Karangan, kelmarin.

Acara tahunan yang dianjurkan kali kedua itu berjaya menghimpunkan lima generasi keluarga berkenaan dari seluruh negara.

Ahli Jawatankuasa penganjur, Tima Ab Rahman, 64, berkata, objektif utama majlis itu diadakan untuk mengeratkan silaturahim selain mengenali sesama ahli keluarga besar berkenaan.

“Yang menariknya, majlis ini diadakan secara pakatan adik beradik. Dari segi tajaan hadiah sehinggalah asak memasak, semuanya dijalankan secara bersama.

“Dengan cara ini, secara tak langsung kami dapat bertanya salasilah keluarga Osman dan Embun.

“Asal usul keluarga ini adalah dari Padang Meiha, Sungai Karangan dan sehingga kini ia berkembang ke seluruh negara, Sabah, Sarawak termasuk di Jerman,” katanya.

Tima berkata, bagi memastikan senarai keturunan ini didokumentasikan dengan teliti, dia membukukan susur galur generasi paling tua hingga kini.

Katanya, dengan adanya catatan itu, ia akan menjadi rujukan semua pada masa depan.

“Ahli keluarga secara sukarela menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah. Untuk tahun depan, akan ada adik beradik yang lain akan menganjurkan program yang sama.

“Harapan saya supaya program ini akan berterusan dan memberi manfaat kepada seluruh ahli keluarga. Yang penting silaturahim ini kekal selama-lamanya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top