am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Harapan mendapatkan keuntungan melalui kerja sambilan sebaliknya menyebabkan suri rumah kerugian RM66,805 akibat ditipu tawaran kerja tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa wanita berusia 37 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 11 pagi kelmarin.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang mengaku kononnya mahu menghantar barang pada pada jam 12.30 tengahari 30 November lalu.
Katanya, mangsa kemudian menerima barangan berupa botol air (tumbler) pada 5 Disember lalu.
“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan ‘Cahaya Usaha’ di aplikasi Telegram.
“Bagaimanapun, sebelum itu mangsa diarahkan membuat bayaran bagi mendapatkan tugasan iaitu membuat `review’ ( ulasan) barangan yang diberikan.
“Mangsa dijanjikan keuntungan dan terpedaya dengan helah itu. Mangsa kemudian melakukan enam transaksi secara berperingkat sebanyak RM66,805,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian curiga apabila masih terus diminta membuat bayaran dan tidak memperoleh keuntungan seperti dijanjikan.
Menurutnya, menyedari tertipu mangsa kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan dan wang daripada ahli keluarganya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



