Calpis Soda One In A Million kini kembali! Selepas melahirkan juara yang memenangi hadiah lumayan seperti Suki Low, Ayu Damit dan Tomok, program pertandingan pencarian bakat paling unggul ini bakal menghiburkan penonton tidak lama lagi!
Kali terakhir diterbitkan pada tahun 2009, Calpis Soda One in a Million kini mencari juara baharu yang bakal membawa pulang hadiah bernilai RM1 juta yang berupa wang tunai RM500,000, sebuah kereta dan kontrak rakaman bernilai RM400,000 dan peluang bekerjasama dengan artis dari Indonesia.
Menurut Nini Yusof selaku Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, dia melahirkan keterujaannya membawa kembali Calpis Soda One in a Million dengan hadiah bernilai RM1 juta.
“Ia menjadi program pertandingan muzik paling menarik dan berprestij di Malaysia. Kami teruja untuk memberikan peluang kepada bakat-bakat muda, baik tempatan dan serantau, untuk bersinar di pentas ikonik ini. Kami berhasrat untuk membawa kegembiraan bukan hanya kepada peserta, tetapi juga penonton, dengan hadiah mingguan berupa kereta untuk memeriahkan suasana pada musim ini!
“Musim ini, gandingan duo dinamik Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy diberi kepercayaan untuk menghangatkan pentas dan membawa kelainan dengan keunikkan mereka sebagai pengacara baharu! Manakala sudah tentunya peminat tidak mahu terlepas menyaksikan juri-juri hebat kami, legenda industri muzik Datuk Yusry Abdul Halim dan Ziana Zain, yang akan membimbing peserta dalam perjalanan mereka mencipta kejuaraan.
“Media Prima sangat berbangga kerana telah mencipta platform ikonik sebelum ini dan kami gembira dapat bekerjasama dengan Calpis Soda untuk membawa dimensi baharu kepada program ini. Kami menggalakkan penonton untuk sama-sama aktif menyertai pencarian suara sejuta ringgit Malaysia yang seterusnya. Sertai kami dengan mengundi peserta kegemaran anda, menghadiri persembahan mingguan secara langsung, dan kongsikan pengalaman anda di media sosial,” katanya.
Nini menambah, selain menyasarkan untuk menjadi program muzik terunggul, Calpis Soda One In A Million ialah platform demokratik, di mana bakat menjadi keutamaan dan semua peserta berpeluang untuk berjaya!
“Sama ada anda seorang artis berpengalaman, penyanyi baru, duo berbakat atau kumpulan baharu yang dibentuk dari kolej, anda semua layak untuk menyertai dan ini mungkin menjadi platform anda bersinar.
“Kami sedang menjalankan uji bakat di pelbagai lokasi di seluruh negara, termasuk di Malaysia Timur, dan kami menggalakkan peserta untuk hadir dan mempamerkan bakat terbaik mereka! Kami memulakan dengan uji bakat besar-besaran di Karnival Jom Heboh di Angsana Mall Johor Bahru dan kemudian akan menjelajah ke pelbagai lokasi di negara ini.
“Bagi mereka yang tidak dapat hadir ke uji bakat secara bersemuka, jangan risau! Kami mengalu-alukan dan menerima penyertaan secara dalam talian. Anda hanya perlu merakam video nyanyian anda dan memuat naik ke akaun TikTok anda dengan tanda pagar #CalpisSodaOIAMTV3. Jika anda berbakat, sudah tentu anda yang kami cari!” katanya.
Butiran Uji Bakat:
Terbuka kepada Semua, Inilah Masa untuk Anda Bersinar!
Calpis Soda One in A Million terbuka kepada semua yang berusia lima belas tahun ke atas dari Malaysia dan negara jiran, menerima penyertaan sama ada secara solo, duo, atau kumpulan!
Penyanyi yang mempunyai lagu ciptaan sendiri amat digalakkan untuk menyertai, selagi mereka tidak terikat dengan sebarang kontrak rakaman.
Uji bakat akan dijalankan secara dalam talian dan bersemuka. Untuk uji bakat dalam talian, peserta boleh memuat naik video nyanyian berdurasi satu minit di TikTok menggunakan tanda pagar #CalpisSodaOIAMTV3 dari 1 hingga 17 November 2024. Uji bakat terbuka pertama telahpun berlangsung selama dua hari di Karnival Jom Heboh di Angsana Mall Johor Bahru pada 2 hingga 3 November 2024 yang lalu.
Uji bakat seterusnya akan diadakan di Sabah dan Pulau Pinang pada hujung minggu ini iaitu pada 9 dan 10 November 2024 (Sabtu dan Ahad), bertempat di Aras 5, Sabah International Convention Centre (SICC), Sabah dan Hotel Atrium, Sunshine Central Penang, Pulau Pinang, bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Manakala minggu berikutnya pula akan berlangsung di Pahang dan Kuala Lumpur. Ini adalah peluang berharga bagi bakat-bakat muda yang bercita-cita tinggi untuk mempamerkan kebolehan mereka dan yang berpotensi menjadi bintang besar dalam Calpis Soda One In A Million.
Fast Lane Eksklusif untuk Peminat Calpis Soda yang Teruja! Dengan pembelian pek promosi eksklusif 10 tin Calpis Soda pada harga RM30 sahaja, peminat dapat menikmati proses uji bakat yang lebih lancar dan cepat — ideal untuk mereka yang bersedia untuk merebut peluang di pentas Calpis Soda One In A Million.
Jadi, tunggu apa lagi? Sertai kami bulan Disember ini di TV3 bersama Calpis Soda One in A Million, dalam pencarian suara bernilai sejuta ringgit Malaysia yang seterusnya.
Kredit Foto: Insatgram Yusry, Instagram Ziana Zain, Instagram Tym Fatimah