
Laporan Sukan Sinar. (Gambar kecil: Hannah)
LEGENDA badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei kini kembali mewarnai pentas badminton tanah air apabila diumumkan sebagai Ahli Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Pengumuman dibuat Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sekali gus menyaksikan pemenang tiga pingat perak Olimpik itu kembali memikul tanggungjawab besar dalam badan induk badminton negara.
Pelantikan Chong Wei bukan sahaja dilihat bakal memberi nafas baharu kepada hala tuju BAM, malah seiring dengan visi persatuan untuk mengangkat semula Malaysia sebagai kuasa besar badminton dunia menerusi misi Tangkis 2030.
Tengku Zafrul sebelum itu menggariskan tiga sasaran dalam masa terdekat iaitu memenangi Piala Thomas pada 2026, meraih pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan memastikan terdapat pemain negara menduduki ranking nombor satu dunia dalam sekurang-kurangnya tiga daripada lima kategori.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan kehadiran semula Chong Wei dalam BAM amat dinantikan sejak beliau menerajui kementerian berkenaan pada 2022.
“Saya percaya Datuk Seri Lee Chong Wei mempunyai begitu banyak yang boleh disumbangkan kepada pembangunan badminton Malaysia dan beliau tidak seharusnya hanya berada di pinggiran BAM.
“Kehadiran beliau membantu Majlis Sukan Negara (MSN) dan Program Road to Gold (RTG) amat saya hargai. Namun, saya lebih optimis apabila bekas atlet memimpin persatuan sukan kebangsaan, ia akan menyuntik semangat, keyakinan serta ketepatan dalam membuat keputusan dan dasar,” katanya menerusi hantaran media sosialnya.
Selain Chong Wei, tiga tokoh turut dilantik sebagai Ahli Majlis BAM iaitu Tan Sri Gooi Hoe Soon, Datuk Seri Shazalli Ramly dan Datuk Sunil Abraham.