MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menasihati beregu wanita utama negara, Pearly Tan- M Thinaah, agar mempertimbangkan secara mendalam sebelum membuat keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menurut Hannah, status sebagai pemain profesional bukan sahaja memerlukan tahap disiplin yang tinggi, malah menuntut pengurusan kendiri dari segi kejurulatihan, dana serta aspek sokongan teknikal yang sebelum ini disediakan sepenuhnya oleh persatuan.
“Untuk menjadi pemain profesional bukanlah satu perkara mudah. Ia memerlukan komitmen luar biasa dan sokongan menyeluruh, khususnya bagi pemain beregu yang memerlukan intervensi serta latihan khusus secara berterusan.
“Apabila berada di bawah BAM, persatuan menyediakan semua aspek yang diperlukan, termasuk jurulatih, kemudahan latihan, dan program pembangunan. Sebaliknya, jika memilih untuk menjadi profesional, atlet bertanggungjawab sendiri mencari dana, jurulatih serta penaja,” kata Hannah dalam satu sidang media pada Jumaat.
Setakat ini, rundingan kontrak antara BAM dan pasangan beregu nombor empat dunia itu masih berlangsung.
Hannah turut menjelaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) masih menyediakan bentuk sokongan tertentu kepada pemain profesional, namun bantuan itu bersifat terhad, khususnya bagi mereka yang layak ke temasya seperti Sukan Olimpik.
“Saya percaya tidak semua atlet sesuai untuk memilih jalan sebagai profesional. Oleh itu, saya berharap Pearly dan Thinaah membuat pertimbangan sebaik-baiknya demi masa depan mereka serta pembangunan sukan badminton negara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa tiada pertemuan rasmi dilakukan setakat ini bersama beregu negara tersebut, namun percaya mereka akan berbincang secara telus dengan jurulatih dan pihak pengurusan BAM sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Saya yakin mereka akan membuat keputusan yang terbaik, bukan sahaja untuk diri mereka, tetapi juga demi kepentingan negara,” tambahnya.