Isteri kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid berkongsi mengenai keadaan anak keempatnya, Yusoff Al Qardawi yang disahkan mengalami Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
Perkara itu didedahkan Shahida ketika membalas pertanyaan seorang pengguna di platform Threads yang ingin mengetahui ciri-ciri kanak-kanak yang mempunyai ADHD.
Menurut Shahida, Yusoff memiliki tahap keaktifan yang luar biasa sehingga sering melakukan perkara di luar jangkaan.
“Anak saya Yusoff pun ada ADHD. Saya ada ramai anak lelaki dan semuanya lasak, tapi Yusoff lasaknya memang lain macam.
“Dia langsung tak ada rasa takut, tak suka ditekan dan selalu buat perkara yang kita sendiri tak terfikir,” katanya.
Malah, Shahida turut berkongsi pengalaman ketika Yusoff masih kecil yang sering mengalami benjolan di kepala kerana terlalu aktif.
“Waktu umur dia satu hingga dua tahun, hampir setiap hari ada benjol di kepala,” ujarnya.

Dalam masa sama, Shahida berkata dia memilih untuk tidak memberikan ubat kepada anaknya, sebaliknya menghantar Yusoff ke kelas terapi sebanyak dua kali seminggu bagi membantu perkembangan dan tingkah lakunya.
Menurutnya, Yusoff juga sukar memberi tumpuan dalam tempoh yang lama ketika belajar kerana mudah berasa bosan.
“Tak makan ubat, saya hantar dia ke kelas terapi dua kali seminggu. Dia memang tak boleh belajar lama sebab cepat bosan,” katanya menjawab pertanyaan netizen.





